Menjelang PRN ke-12 Sarawak dan PRU-15..
SEPINTAS LALU
- Tajuk: Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir
- Penulis: Mantan Pengerusi SPR dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman dan pengamal media dan mantan ahli tetap ERC, Dr G Manimaran
- Penerbit: Penerbit Universiti Malaya
- Tahun terbitan: 2021
- Halaman: 806
INGIN mendapatkan info yang lengkap mengenai proses pilihan raya di Malaysia? Dan, berhasrat mendapatkan data dan statistik keputusan pilihan raya-pilihan raya lalu termasuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016?
Atau berhasrat untuk bersiap sedia menghadapi atau menyertai PRU-15 dan PRN ke-12 Sarawak yang bakal berlangsung dalam waktu terdekat?
Buku “Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir” ini menyediakan segala butiran yang diperlukan sebagai panduan oleh setiap pemegang taruh, tidak kira sama ada ahli-ahli politik atau pun rakyat biasa, yang merupakan penentu wakil rakyat mereka.
Buku setebal 806 halaman ini, yang diterbitkan oleh Penerbit Universiti Malaya, yang baru memasuki pasaran, menyediakan satu huraian lengkap, yang diperlukan oleh setiap rakyat sama ada mereka itu pemilih atau pengundi, ahli parti politik, calon atau agensi yang terlibat dalam pengurusan pilihan raya, sekali gus membantu memenuhi prinsip sistem pilihan raya demokrasi.
Buku ini dihasilkan dengan gandingan pengalaman dua personaliti yang berkecimpung dalam pengurusan pilihan raya, Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman, yang merupakan mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya dan Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), dan Dr G Manimaran, pengamal media dan mantan Ahli Tetap ERC.
Selari dengan perkembangan sistem dan undang-undang pilihan raya, proses pilihan raya dan persaingan kini dilihat semakin kompleks. Pilihan raya tidak hanya terhad kepada proses penamaan calon, berkempen dan hari pengundian semata-mata.
Sebaliknya, ia turut membabitkan proses pendaftaran pemilih, persempadanan bahagian pilihan raya, syarat-syarat berkaitan dengan kempen, pengiraan undi, pengisytiharan keputusan, dan juga petisyen serta pilihan raya kecil jika dipanggil atas pelbagai keadaan.
Keseluruhannya, pada hari ini terdapat sekitar 30 proses dalam pengurusan pilihan raya. Segala maklumat terperinci mengenainya terdapat dalam buku ini, yang boleh diperoleh secara fizikal ataupun dalam talian. Antara proses yang dimaksudkan termasuklah bagaimana hendak mengisi borang dan menghadapi hari penamaan calon, yang merupakan langkah pertama dan penting dalam proses ke arah menjadi wakil rakyat. Bagaimana calon harus dan boleh melantik ejen mereka dan bagaimana undi dikira dan proses-proses selanjutnya.
Begitu juga bagi pengundi ingin mengetahui bagaimana proses pengundian dijalankan. Hak dan tanggungjawab mereka sebagai pengundi. Pada masa yang sama peranan dan tanggungjawab wakil rakyat juga dihuraikan dalam buku, yang disifatkan sebagai kolekasi yang “padat dengan fakta, informasi dan pengetahuan mengenai pelbagai perkara berkaitan pilihan raya demokrasi di Malaysia,” oleh penganalisis sosiopolitik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi.
Dalam ulasan mengenai buku ini, beliau menambah: “Oleh itu, buku ini wajar berada di tangan setiap rakyat sebagai pencerah.” “Bukan sahaja berguna untuk ahli-ahli politik terutama para calon yang bakal bertanding, tetapi bagi masyarakat awam yang mahu suburkan semangat demokrasi dan mahu menggunakan pilihan raya sebagai peluang melahirkan wakil rakyat berwibawa,” kata Dr Awang Azman lagi.
Pengetahuan mendalam mengenai selok-belok pilihan raya bukan hanya hak dan perlu diketahui oleh para calon, malah perlu dihayati oleh setiap rakyat iaitu lebih 15 juta pengundi. Dalam waktu terdapat bilangan pengundi yang layak akan meningkat kepada lebih 20 juta orang susulan pelaksanaan Undi 18.
Pilihan raya merupakan satu komponen yang amat penting di negara yang mengamalkan demokrasi seperti Malaysia. Oleh itu, ketersediaan dan kedapatan bahan-bahan rujukan berkaitan proses pilihan raya demokrasi amat penting.
Buku menyediakan data mengenai pemilih dan keputusan melibatkan 222 kerusi Parlimen dan 600 kerusi Dewan Undangan Negeri. Karya ini menghidangkan data dan fakta penting yang berkaitan sejak PRU pertama tahun 1959 dalam bentuk kronologi 1955 hingga 2021, dan trivia yang menarik serta senarai keputusan penuh PRU-14 sebagai rujukan bagi menghadapi PRU-15 dan PRN ke-12 Sarawak serta pilihan raya mengejut di Melaka yang sedang berlangsung.
Bagi tujuan itu, buku ini terdiri daripada 15 bab, iaitu huraian mengenai Kerajaan dan Pilihan Raya, Sistem dan Proses Pilihan Raya, Undang-undang dan Peraturan, Penamaan Calon, Daftar Pemilih, Kempen Pilihan Raya, Pengundian dan Pengiraan Undi, Setelah Selesainya Pilihan Raya dan Petisyen Pilihan Raya.
Satu bab dikhususkan untuk menghuraikan perkembangan sejak selepas PRU-14, termasuk senarai keputusan pilihan raya kecil dan maklumat tentang jajaran kerusi, dan perubahan kerajaan pusat dan enam kerajaan negeri. Bab terakhir mengupas keperluan memperkasakan sistem dan undang-undang pilihan raya supaya kelihatan relevan dengan perkembangan semasa.
Sebagaimana disebutkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia, Datuk Dr Chamil Wariya dalam ulasan beliau, buku ini satu dokumen penting yang merakamkan denyut nadi perjalanan pilihan raya.
Diharap buku ini akan memandu setiap rakyat Malaysia dalam menyuburkan sistem pilihan raya demokrasi – bermula dari gelanggang persaingan sehinggalah ke fasa mentadbir negara.
Untuk maklumat lanjut mengenai buku ini boleh menghubungi penulis di emel manimarandrg@gmail.com atau terbit@um.edu.my