Tangani kebanjiran PATI sempena Gawai-Raya

 Anggota Imigresen dan PGA yang terlibat dalam Ops Bersepadu Gawai-Raya diberikan taklimat sebelum memulakan  

KUCHING: Seramai tujuh lelaki dan tiga wanita warganegara Indonesia ditahan kerana tinggal di negeri ini secara haram.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen Sarawak Datuk Ken Leben, kesemua Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) itu kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Semuja Serian untuk siasatan lanjut atas kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Mereka ditahan dalam Ops Bersepadu Gawai-Raya yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching dan Sri Aman serta dibantu Pasukan Gerakan Am (PGA) Sri Aman di Simpang Lubok Antu / Jalan Sri Aman-Betong pada Jumaat lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pemeriksaan yang dijalankan di Simpang Lubok Antu / Jalan Sri Aman-Betong pada Jumaat lalu.

Dalam operasi berkenaan, seramai 763 individu telah diperiksa yang terdiri daripada 85 lelaki dan 84 wanita tempatan, 397 lelaki dan 73 wanita warganegara Indonesia, empat lelaki warga Filipina, tujuh lelaki dan 12 wanita warga Brunei serta seorang lelaki warga Nepal.

Operasi itu melibatkan sekatan jalan raya dan memeriksa kenderaan-kenderaan awam serta individu bagi mengesan PATI, khususnya menjelang musim perayaan Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri yang menjelang tiba.

Ken bersama Timbalan Ketua Bahagian Penguatkuasa Imigresen Sarawak, Rosliah Kassim turut menyertai operasi itu.

Operasi diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan Imigresen Sarawak Mehuen Runies dan dibantu Unit Penguatkuasa dari Pejabat Imigresen Sri Aman serta PGA dengan kekuatan anggota seramai 66 orang.

Operasi yang bermula sekitar jam 9.30 malam berakhir pada jam 5.30 pagi.