Tangani kekurangan pemandu pelancong

MIRI: Sebanyak 19 peserta menerima lesen pemandu pelancong selepas menjalani kursus ‘Regional Specific Tourist Guide’ (RSTG) 2019 selama enam bulan.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting berkata, kursus RSTG itu dianjurkan oleh kementeriannya dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Saujana Academy of Travel and Tour (SATT) College untuk mengatasi masalah kekurangan pemandu pelancong di Sarawak.

Menurutnya, langkah itu adalah untuk meningkatkan lagi aktiviti pelancongan dan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan industri pelancongan di Sarawak.

“Wabak Covid-19 memberi kesan negatif yang serius kepada pemain industri pelancongan, termasuk pemandu pelancong berlesen.

“Tidak seperti sektor lain, sektor pelancongan memerlukan masa pemulihan yang lama bagi membina semula keyakinan pelancong untuk mengunjungi Sarawak,” katanya pada majlis penyampaian lesen RSTG di sebuah hotel ternama di sini kelmarin.

Sebastian memberitahu, dengan norma baharu dan pembukaan semula pelancongan domestik, pemandu pelancong kini bertanggungjawab untuk memastikan pelancong mengikuti protokol kesihatan dan keselamatan semasa lawatan mereka.

“Kementerian saya kerap bekerjasama dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berhubung prosedur operasi standard (SOP) yang diperlukan untuk pembukaan industri pelancongan secara berperingkat-peringkat.

“Ini kerana pemandu pelancong juga berperanan mendapatkan kepercayaan pelancong bahawa mereka dapat menikmati perjalanan yang selamat di Sarawak pasca-Covid-19,” jelasnya.

Tambah beliau, melihat kepada sekatan perjalanan dan pergerakan, pihaknya mengalihkan fokus kepada pelancongan domestik.

“Kita akan meneruskan kempen melawat Sarawak dengan fokus untuk memperkukuh jenama Sarawak More to Discover dan mempromosikan lima tema utama pengalaman unik Sarawak dari segi Budaya, Pengembaraan, Alam Sekitar, Makanan dan Pesta (CANFF).

“Selain itu, sebuah kempen baharu turut diperkenal iaitu kempen pasca-Covid-19 dengan slogan Rediscover Yourself in Sarawak yang bertujuan untuk menjangkau pasaran domestik iaitu perjalanan di dalam negeri dan antara negeri, di samping menerapkan norma baharu,” ujar Sebastian.

Turut hadir Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian, dan Kebudayaan, Hii Chang Kee, Pengarah MOTAC, Suriya Charles Buas dan Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Sharzede Datu Salleh Askor.