
KUCHING: Suasana di Kampung Hilir Tabuan riuh seketika malam tadi, apabila penduduk kampung dengan anggota bomba bersama-sama menangkap seekor buaya yang menghuni bawah rumah seorang penduduk di situ.
Buaya dianggarkan sepanjang 10 kaki itu kemudian berjaya ditangkap sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya, setelah dihubungi oleh pemilik rumah terbabit yang meminta khidmat khas untuk menangkap reptilia itu kira-kira jam 11 malam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata pihak bomba bertindak menangkap buaya itu setelah menghubungi pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC).
“Buaya itu dapat ditangkap dengan bantuan penduduk kampung dan seterusnya dibawa balik ke balai,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Tambahnya buaya itu kemudian diserahkan kepada SFC untuk tindakan lanjut.
Sementara, Ketua Pegawai Eksekutif SFC, Zolkipli Mohamad Aton mengesahkan pihaknya ada menerima buaya itu.
Namun, katanya buaya itu didapati sudah mati.
“Bedah siasat sudah dibuat ke atas bangkai buaya itu dan sampel DNA juga sudah diambil oleh kakitangan kami di BBP Tabuan Jaya,” katanya yang dihubungi.