JIKA anda bersiar-siar di kampung berdekatan pantai di Mukah, anda akan terhidu aroma bubok dan ikan kering. Meja peniaga di pasar basah Mukah penuh dengan pelbagai jenis hasil laut.
Musim bubok dan ikan kembali ‘menyerang’ penduduk Mukah sekarang ini.
Bubok atau nama lainnya geragau (udang halus) merupakan antara yang ditunggu-tunggu oleh penduduk di sini, memandangkan kawasan tempat tinggal berdekatan pantai.
Mukah sememangnya kaya dengan hasil laut seperti ikan, bubok, payak dan sebagainya.
Jika melihat di pasar basah Mukah, banyak hasil laut yang dijual dan pernahkah kita terfikir bagaimana mereka mendapatkannya?

Walaupun penulis merupakan anak kelahiran Mukah, ini pertama kali berkesempatan merasai sendiri pengalaman menangkap bubok bersama-sama penduduk kampung yang sentiasa setia menanti musimnya.
Mohd Kamarudin Abdullah, 57, membawa beg rotan atau gelageing sambil memikul peralatan tradisional menangkap bubok iaitu pakak (jerat).
Ketika itu, dia yang baru turun ke laut selepas menghantar hasil bubok mengajak penulis untuk melihat cara menangkap bubok sambil menceritakan pengalamannya ketika musim bubok.
“Apabila tiba musim bubok, memang sangat sibuk kerana seawal jam 6 pagi, saya sudah turun ke pantai untuk mendapatkannya.
“Pada awal pagi, banyak bubok bermain-main di kawasan pesisir pantai dan menjelang tengah hari, ia jauh dari kawasan pesisir pantai.

“Menangkap bubok memang memenatkan kerana kebanyakan kami menggunakan pakak, menyorong dengan tenaga dan mengangkat semula untuk melihat tangkapan,” katanya sambil menunjukkan cara mengendalikan pakak.
Pakak yang diperbuat daripada dua batang kayu itu diletakkan bersama jaring yang bermata kecil supaya bubuk tidak terlepas.
Dedahnya, sejak kecil, dia mula melihat orang ramai menggunakan pakak dan mengambil peluang untuk bergiat dalam aktiviti penangkapan bubok pada usia 18 tahun hingga sekarang.
Pakak turut dikenali sebagai sungkur dalam kalangan penduduk di Kuching.
Kamarudin juga berkongsi cara untuk melihat dan mengetahui musim bubok di kawasannya.
“Apabila kita lihat senja kekuning-kuningan, maka ada bubok menghampiri kawasan pesisir pantai.
“Musim bubok biasanya tidak lama, dalam dua hingga tiga hari sahaja dan Alhamdulillah, kali ini ia berlaku pada bulan Ramadan maka banyaklah belacan dan cencaluk dihasilkan.
“Saya tidak menjual belacan buatan sendiri, hanya untuk kegunaan keluarga sahaja,” ujarnya.
Menangkap bubok bermula di kawasan air paras lutut hingga dada.
“Cabaran utama menangkap bubok, ialah ada ketikanya berlawan dengan ombak besar atau arus deras.
“Selain itu, air cepat surut menyebabkan kami menangkap bubok jauh dari pantai,” jelasnya.
Katanya, jika musim bubok, harga sekilo hanya RM5, berbanding musim biasa boleh mencecah RM10 sekilo.
