Tangkapan kesalahan dadah menurun 16.5 peratus pada bulan Mei 2021

KUCHING: Sebanyak 607 tangkapan berkaitan penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di seluruh negeri sepanjang bulan Mei lalu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia hasil daripada operasi yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak, Agensi AntiDadah Kebangsaan (AADK) Sarawak dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak.

“Daripada jumlah tersebut, 155 tangkapan melibatkan kesalahan memiliki dadah dan bahan terlarang, pengedaran dadah (42) dan individu positif (410).

“Jumlah tersebut mengalami penurunan sebanyak 16.5 peratus berbanding sebanyak 727 tangkapan pada bulan April lalu.

“Dalam tempoh yang sama, sebanyak 24.8 kg dadah dan bahan terlarang berbentuk mampat dan 28 berbentuk pil telah dirampas oleh JSJN dan JKDM Sarawak dengan anggaran nilai berjumlah RM282,706,“ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Laporan Bulanan Jawatankuasa Sehenti (OSC) Menangani Isu Dadah dan Penyalahgunaan Bahan terlarang (MIDS) di Bangunan Baitul Makmur II di sini, hari ini.

Suara Sarawak