Tangki misteri muncul di Pantai Lutong

MIRI: Beberapa objek seperti tangki diperbuat daripada besi dijumpai muncul di tepi Pantai Lutong, di sini semalam.

Objek itu ditemui oleh penduduk setempat sebelum memaklumkan kepada Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting.

Sehubungan itu, Sebastian berkata telah turun meninjau ke lokasi penemuan objek berkenaan serta berjumpa dengan penduduk yang menemuinya.

“Kami telah menghubungi pihak bertanggungjawab untuk melihat perkara ini dan berharap penemuan baharu ini akan menambah nilai baharu kepada sejarah di Miri”, katanya menerusi satu kenyataan.

Pada masa sama, beliau berkata telah meminta pandangan daripada Pakar Bebas Minyak dan Gas, John Hill mengenai penemuan itu.

Katanya, ia kerana John Hill pernah datang untuk menjalankan kajian berkaitan sumber minyak dan gas di Miri pada 1981.

Menurut Sebastian yang juga Adun Piasau, objek tersebut dipercayai muncul disebabkan hakisan yang semakin membimbangkan di pesisiran Pantan Lutong.

Ekoran itu, beliau berharap agar agensi berkenaan bertindak segera mengatasi masalah hakisan di pantai itu daripada terus melarat.

Beliau juga menasihati orang ramai yang mengunjungi pantai itu supaya berhati-hati kerana objek yang dijumpai itu tajam dan berkarat, yang boleh mendatangkan kecederaan.

Suara Sarawak