MENJEJAK kaki ke Tanjung Manis untuk pertama kali, penulis kagum dengan pembangunan strategik yang berjaya dilaksanakan dalam tempoh yang singkat 31 tahun di kawasan yang dahulunya tidak lebih daripada hutan paya bakau.
Dengan objektif penubuhannya yang jelas, pelbagai rancangan pembangunan daripada akuakultur kepada pemprosesan makanan, pembinaan kapal kepada hab komersial dan pendidikan, industri minyak sawit kepada kawasan perlindungan bakau dan berasaskan kayu kepada hab kediaman.
Mengimbas kembali idea penubuhan Tanjung Manis oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang merupakan Ketua Menteri ketika itu, ada pihak yang mentertawakan idea beliau.
Tanjung Manis telah dipilih kerana lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan laut terbuka, laluan terlindung serta perairan yang dalam bersesuaian bagi penubuhan zon industri berasaskan kayu.
Susulan daripada kajian itu, satu cadangan telah dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) untuk penubuhan Zon Pemprosesan Perkayuan Tanjung Manis untuk membangunkan industri perkayuan di Wilayah Tengah Sarawak sekali gus terbesar di Malaysia.
Seterusnya pada 11 Mac, Majlis Pecah Tanah Zon Pemprosesan Perkayuan Tanjung Manis telah disempurnakan oleh Tun Taib. PUSAKA sebagai agensi utama bertindak sebagai penyelaras TPZ yang seluaz 3,000 hektar ketika itu.
Selaras dengan tanggungjawab tersebut, PUSAKA segera melaksanakan tugas pembangunan.
Antara yang pertama disiapkan adalah TPZ, diikuti peningkatan kemudahan perbandaran baharu dan dermaga.
Menjelang 1994, TPZ telah berada jauh di hadapan pembangunan yang dirancang dengan 510 hektar telah siap.
Infrastruktur utama seperti jalan raya dan bekalan elektrik telah pun disediakan termasuk 200 unit rumah dan sejumlah 1,000 unit rumah siap pada penghujung tahun 1995.
Fasa kedua (1996-2000) melibatkan pembangunan kawasan seluas 780 hektar, ia memanjangkan senarai pembinaan infrastruktur untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada industri yang telah memulakan operasi di sini termasuk kilang papan dan papan lapis.
Satu lagi rangsangan kepada pertumbuhan di sini ialah penyiapan pelabuhan laut dalam bernilai RM70 juta.
Antara projek di bawah fasa dua ialah jalan penghubung Serdeng dengan kampung-kampung pesisir pantai termasuk Serdeng, Daro, Matu, Mukah boleh diakses melalui jalan raya yang dihubungkan ke Tanjung Manis apabila keseluruhan projek TPZ siap.
Kampung-kampung lain yang turut mendapat manfaat daripada perluasan sistem jalan raya termasuk Kampung Rajang, Belawai dan Jerijeh.
Pembangunan fasa tiga (2001- 2005) bermula dengan ketara pembukaan lapangan terbang baharu di Jerijeh pada September 2001 bernilai RM4 juta, sekali gus menjadikan Tanjung Manis boleh diakses melalui udara, darat dan laut.
Kawasan yang dahulunya dilitupi hutan paya telah diubah menjadi kawasan pertumbuhan baharu untuk kawasan pedalaman sekali gus menjadi pemangkin pembangunan industri, pertanian dan perbandaran dengan impak sosioekonomi yang dinamik.
Pada November 2001, kerajaan negeri meningkatkan lagi tarikan ekonomi dengan memindahkan operasi kargo Pelabuhan Sibu ke sini.
Dalam masa yang sama ditubuhkan Terminal Pengedaran Minyak Pusat (CODT) pada Oktober 2002 serta limbungan pembinaan kapal seluas 300 ekar.
Pada titik permulaan pembangunan fasa keempat (2006-2010), kompleks perikanan terbesar di Malaysia yang dibina dengan kos lebih RM332 juta itu beroperasi sepenuhnya dan dapat memuatkan 200 kapal nelayan pelbagai jenis dengan kemudahan bilik sejuk seluas 7,000 meter persegi dan kilang pemprosesan seluas 10,800 meter persegi. Selain diwujudkan Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) serta Halal Hub Tanjung Manis pada 2009.
Pada 1 Oktober 2015 secara rasminya Daerah Kecil Belawai telah dinaik taraf sebagai Daerah Tanjung Manis dalam usaha untuk mentransformasikan pembangunan yang semakin pesat di kawasan ini.
Dengan kepelbagaian aktiviti ekonomi yang berkembang melangkaui bukan hanya pengeluaran kayu dan berasaskan produk halal, maka dilihat Tanjung Manis lebih sesuai diberikan identiti baharu yang mencerminkan kapasiti semasanya untuk industri yang pelbagai. Penjenamaan semula Tanjung Manis dari Zon Pemprosesan Perkayuan Tanjung Manis kepada Kawasan Pertumbuhan Ekonomi Tanjung Manis (T-MEGA) pada tahun 2018.
Dengan segala kemudahan yang dimiliki serta identiti baharu, Tanjung Manis sudah bersedia untuk untuk melangkah di hadapan.
Dijangka mula beroperasi awal 2022, menara pentadbiran 16 tingkat yang akan menempatkan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan bakal meletakkan Tanjung Manis sebagai hab pentadbiran bagi wilayah tengah.
Dengan 40 unit rumah kedai sudah siap dan beberapa unit sudah diduduki, pusat bandar ini bersedia untuk dimasuki lebih banyak perniagaan komersial.
Pada masa ini sudah terdapat kedai elektronik, pasar mini dan beberapa restoran.
Malah sudah terdapat 200 unit kuarters kerajaan.
Antara kemudahan lain yang turut disediakan ialah sekolah, kawasan perumahan, klinik, masjid, bank, terminal ekspres, balai polis, balai bomba dan sebagainya untuk menampung permintaan daripada pelabur.
Sesungguhnya, pembangunan Tanjung Manis telah memberi impak yang besar kepada kehidupan masyarakat setempat.
Mereka kini mempunyai lebih banyak pilihan dari segi peluang kerjaya, pendidikan dan gaya hidup.
Kesan pembangunan ini bukan sahaja dirasai di sini, malah kawasan sekitarnya termasuk membantu Sibu berkembang lebih besar dari segi operasinya.
Ia turut mengintegrasikan kawasan lain seperti Mukah, Oya, lgan dan Sarikei.
Apabila idea Tanjung Manis dicetuskan, matlamat awalnya untuk melihat sama ada terdapat sebuah bandar baharu yang mampu menarik minat golongan muda terutamanya dari pedalaman, untuk bekerja dan tinggal di sana.