Tanpa keharmonian, negara bergolak, ekonomi mundur

LIMBANG: Sambutan perayaan keagamaan dan budaya seperti Aidilfitri, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Gawai perlu diraikan tanpa mengira kaum, agama dan budaya. Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah berkata, sambutan sedemikian akan mengeratkan lagi silaturahim masyarakat di negeri ini.

“Terdapat kepelbagaian kaum dan agama yang perlu kita raikan bersama-sama. Melalui budaya ini, ia akan dapat menimbulkan rasa kasih sayang, toleransi serta hormat-menghormati. “Saya percaya, Tahun Baharu Cina bukan sahaja disambut oleh masyarakat Tionghua, tetapi juga menjadi sambutan seluruh masyarakat di negara kita. “Tiada halangan untuk meraikannya bersama-sama,” katanya kepada media ketika mengunjungi Rumah Terbuka Ketua Kaum Masyarakat Cina Limbang, semalam.

Sehubungan itu, Hasbi menekankan agar keharmonian serta perpaduan kaum terus dipelihara agar pembangunan setempat dapat dilaksanakan. Ujarnya, tanpa keharmonian serta perpaduan pelbagai kaum, ia akan menyebabkan kemunduran serta kejatuhan ekonomi setempat.

“Ambil iktibar di negara lain yang mundur akibat bergolak dan berperang sesama sendiri.

“Kerajaan Sarawak serta Persekutuan mempunyai pelbagai perancangan untuk membangunkan lagi ekonomi setempat yang memerlukan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Dalam kunjungan itu, rombongan Hasbi turut mengunjungi kediaman Penghulu Chua Beng Soon, Temenggung Ang Kheng Su dan Pemanca Leong Boon Ming.

Turut serta ialah Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail; Walikota Majlis Daerah Limbang Sufian Mohat; Timbalan Walikota Dahlan Dullah; Ketua Pemuda Batu Danau Elvis Mathew Bongsu; Ketua Wanita PBB Bukit Kota Noni Marlini Abdullah; Pemanca Jun Sila dan Ketua Kampung Patiambun Ahmad Mail.

Suara Sarawak