IPOH: Taman Tasik Taiping merupakan kawasan yang sangat sesuai bagi pembiakan burung hudhud atau nama saintifiknya upupa epops kerana kawasan sekitar di situ mempunyai pokok-pokok besar, sumber makanan yang banyak selain memiliki suhu serta kelembapan yang amat baik.
Pengarah Zoo Taiping dan Night Safari (ZTNS) Dr Muhamad Ridhwan Affendi berkata ia berdasarkan kajian yang dilakukan oleh pihak Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bersama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) yang mengamati faktor-faktor menyebabkan burung migrasi itu singgah di Taman Tasik Taiping sejak tiga tahun lalu.
Dr Muhamad Ridhwan berkata burung hudhud kali pertama ditemukan di Taman Tasik Taiping pada 2021 dan didapati pernah bertelur serta menetas di kawasan tasik tersebut.
Pada Mei 2021, tiga ekor anak burung hudhud yang menetas dalam sarang berlubang di pokok jemerlang di Taman Tasik Taiping itu terbang meninggalkan sarang setelah 40 hari pasangan burung jantan dan betina spesies itu dikesan membuat sarang di pohon berkenaan pada 5 April tahun sama untuk bertelur.
“Spesies burung ini masih lagi ditemui di sekitar kawasan itu dan paling jauh pernah ditemui adalah di sekitar Kamunting, burung hudhud mudah dikenali kerana mempunyai warna yang cerah iaitu jingga dan keseluruhan badannya juga mempunyai warna yang sama dan berbelang,” katanya kepada Bernama.
Katanya burung yang mempunyai jambul berwarna jingga dan hitam serta paruh yang panjang dan melengkung ini sentiasa berpindah-pindah kawasan dengan ia boleh ditemui di negara Eropah, Asia, Utara Sahara dan Afrika.
Selain itu ia boleh ditemui di negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Laos.
Dr Muhamad Ridhwan berkata selain hudhud terdapat banyak jenis burung migrasi di sekitar Taman Tasik Taiping antaranya adalah black-capped kingfisher, stork-billed kingfisher, rufous-backed kingfisher, white-bellied sea eagle, black baza, oriental honey buzzard, japanese sparrowhawk, chinese sparrowhawk, javan pond heron, grey heron, hooded pitta serta eurasian hoopoe.
Ia mendorong pihaknya menganjurkan Taiping Bird Week (TBW) sejak 2017 di Taman Tasik Taiping dan program tersebut menerima penyertaan seramai 154 peserta dari dalam dan luar negara pada penganjuran edisi keempat yang diadakan Ogos lalu.
“Berdasarkan bilangan cerapan bagi kategori terbuka, sebanyak 86 spesies burung telah direkodkan manakala bilangan cerapan bagi kategori sekolah pula, 32 spesies burung telah berjaya direkodkan di kawasan Tasik Taiping ini.
“Ini memberi mesej yang sangat jelas bahawa Taiping merupakan daerah yang kaya dengan kepelbagaian spesies burung.
“TBW telah pun disenaraikan dalam kalendar aktiviti tahunan negeri Perak dan akan diteruskan setiap tahun yang sambutan diterima daripada orang ramai terutamanya pelajar sekolah adalah amat baik,” katanya.
Tambah beliau lagi, Olympus dan Fujifilm telah menjadi penaja hadiah bagi TBW 2023 dan pihak Tourism Perak juga telah memberikan peruntukan bagi pelaksanaan program tersebut.
Dr Muhamad Ridhwan berkata aktiviti pemerhatian dan rakaman foto burung sepanjang TBW akan menjadi tarikan serta hab kepada avitourism di negara ini. – BERNAMA