KUCHING: Kelab Penduduk Borneo Highlands (BHRC) mempromosikan Borneo Highlands sebagai destinasi pelancongan penting di peringkat tempatan dan antarabangsa.
ADUN Batu Kitang merangkap Pengerusi BHRC, Lo Khere Chiang berkata, Borneo Highlands antara tempat yang sesuai untuk melakukan aktiviti berkhemah, memandangkan udaranya yang bersih dan segar, selain persekitarannya indah serta selamat.
Beliau yakin pelancong dapat menikmati pemandangan yang mengagumkan serta menerokai kepelbagaian flora dan fauna yang terdapat di sekitar kawasan tersebut.
Lo berkata demikian semasa meraikan sambutan ulang tahun pertama BHRC di Borneo Highlands Resort Clubhouse baru-baru ini.
Sempena sambutan itu, BHRC dengan kerjasama Borneo Glamping mengadakan Pesta Glamping 2023 selama tiga hari dan dua malam, dengan menyediakan kemudahan penginapan kepada ahli dan tetamu mereka.
Lebih 300 orang menyertai pesta tersebut yang terdiri daripada pelbagai kaum.
BHRC berperanan untuk melindungi hak dan kepentingan penduduk serta pemilik harta, di samping memupuk hubungan rapat antara agensi kerajaan dengan penduduk.