
pics n kapsyen: Alief Noni
LUNDU: Projek pembinaan Jambatan Batang Rambungan yang sepatutnya siap pada Jun tahun ini dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2024.
Ia susulan berlaku kelewatan kritikal dari segi pelaksanaan projek sebanyak 42 peratus berbanding jadual semasa.
Timbalan Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Ir Aidel Lariwoo berkata, hal ini menyebabkan jalan pesisir di kawasan ini tidak lengkap.
“Lapan jambatan lain yang menghubungkan jalan sehingga ke sini (Jambatan Rambungan) sudah disiapkan kecuali jambatan ini.
“Laluan pesisir ini tidak akan menjadi lengkap apabila jambatan ini belum siap. Oleh itu, ia menimbulkan kerisauan kepada kita kerana dijangka siap penghujung 2024.
“Kita bimbang terhadap pelaksanaan projek yang perlahan, justeru agensi pelaksana diarahkan untuk membuat pemantauan yang lebih kerap secara mingguan bagi memastikan progres pembinaan berjalan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di tapak Projek Jambatan Batang Rambungan Pakej D1 di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, usaha yang lebih mantap perlu difikirkan untuk menyiapkan projek tersebut mengikut masa yang ditetapkan untuk menghubungkan jalan dari kawasan Rambungan-Sampadi-Lundu sebagai satu jalan pesisir.