KUCHING: Siapa sangka dengan hanya bermodalkan RM20, pengusaha tart keju Siti Khadijah Abdull Latip kini berjaya menjana RM6,000 hingga RM7,000 sebulan.
Lebih mesra dipanggil Fatin, wanita berusia 25 tahun itu mengakui minat dalam pembuatan pastri bermula sejak berusia 10 tahun kerana sering menolong ibunya menjual biskut terutama pada musim perayaan.
“Saya mula berniaga sendiri selepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menjual biskut dan burger, namun berhenti seketika semasa melanjutkan pelajaran di Unimas.
“Bagaimanapun saya kembali serius berniaga pada 2019 dengan menjual tart keju yang pada permulaan hanya menggunakan pengadun tangan dan ketuhar kecil milik ibu saya.
“Dan berbekal modal RM20 itu, saya membeli keju yang seberat 250 gram dan acuan besi untuk membuat kulit tart hasil daripada resipi yang dibeli dalam talian,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak, baru-baru ini.
Fatin memberitahu, beliau memilih perniagaan tart keju kerana melihat trend semasa ia semakin menjadi pilihan ramai terutama bagi mereka yang tidak gemar makan kek.
Menurut pemegang Sarjana Muda Seni Gunaan (Kepujian) dalam Teknologi Seni Reka itu, walaupun tersasar daripada rancangan asal untuk membuka butik sendiri apabila
tamat belajar, beliau tetap memanfaatkan ilmu seni yang diperolehi dalam pembuatan tartnya.
“Keistimewaan tart saya ialah ia mempunyai lukisan atau disebut cheese tart painting iaitu hiasan lukisan seperti gambar kartun, bunga dan sebagainya bergantung kepada permintaan pelanggan.
“Teknik melukis ini saya pelajari semasa belajar dahulu dan semasa mengambil upah melukis inai pengantin selain sentiasa berlatih menggunakan video dalam talian sebagai rujukan.
“Lukisan paling rumit ialah kartun seperti Naruto, Spiderman dan seumpamanya kerana mempunyai banyak warna.
“Ia memerlukan sekitar satu jam untuk melukis 25 biji tart.
“Manakala untuk lukisan ringkas, saya mampu melukis sekitar 100 biji dalam satu jam,” jelasnya yang turut menerima tempahan untuk semua musim perayaan.
Tambah Fatin, harga tart kejunya bermula daripada RM26 (20 biji) untuk hiasan ringkas hingga RM38 (25 biji) untuk lukisan rumit dan berwarna warni.
“Alhamdulillah, tart saya semakin dikenali serta mendapat sambutan menggalakkan kerana majoriti pelanggan berpuas hati dengan keenakannya akan mempromosikan kepada kenalan dan keluarga masing-masing.
“Di situ saya dapat menambah pelanggan selain turut mempromosikan melalui media sosial seperti Facebook
dan WhatsApp.
“Malah bagi mengekalkan rasa dan kualitinya, saya sentiasa membeli dari pembekal yang sama begitu juga dengan jenama produk.
“Selain itu, saya masih mengekalkan harga yang sama sejak dua tahun lalu walaupun harga keju kini mengalami peningkatan yang ketara daripada RM42 kepada RM52,” ujarnya yang mampu menghasilkan sehingga 1,000 biji tart keju sehari.
Katanya lagi, pada hari biasa beliau turut menerima tempahan untuk kek marble, kek batik dan kek hari jadi yang dijual pada harga RM30 hingga RM50 ke atas bergantung kepada hiasan dan saiz.
Dalam pada itu, sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, Fatin turut menerima tempahan menjual biskut raya sebanyak tujuh jenis dengan harga RM15 hingga RM20 sahaja.
“Setiap kali bulan Ramadan, saya akan membuka tempahan biskut raya yang dihasilkan menggunakan resipi warisan ibu seperti biskut Almond London, Tart Cadbury, Famos Amos dan Rainbow Cheese,” jelasnya.
Fatin berharap dapat mengembangkan perniagaannya dalam tempoh beberapa tahun akan datang. Justeru, beliau mengalu-alukan para suri rumah untuk menjadi ejen beliau untuk menjana pendapatan tambahan.
Untuk menempah, anda boleh menghubungi Fatin di talian 013-6656557 atau melalui Facebooknya Fatin Khadijah.