BAKUN: Jalan alternatif sepanjang 12 kilometer (km) ke Tasik Bakun dan cadangan pembinaan jeti di kawasan tasik itu dijangka siap pada Oktober 2021.
Timbalan Ketua Menteri Tan Sri James Jemut Masing berkata, kedua-dua projek tersebut dilaksanakan dengan kos RM47 juta (jalan alternatif) dan RM17 juta (jeti).
Menurutnya, fasa kedua projek merangkumi kemudahan awam dan kedai untuk memenuhi keperluan nelayan di pedalaman Bakun.
“Saya berharap kawasan tasik tersebut dapat dijadikan kawasan untuk melatih atlet Sukma Sarawak bagi acara sukan layar.
“Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat dibawa ke kawasan ini agar Kelab Layar Bakun yang telah dicadangkan dapat mempunyai pejabat dan kemudahan untuk melatih sendiri atlet mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau ketika lawatan ke kawasan projek di Tasik Bakun telah mendengar penerangan tentang pelaksanaan kedua-dua projek tersebut setelah tertangguh akibat penularan Covid-19.
Turut hadir ketika lawatan tersebut ialah Menteri Muda Elektrik Luar Bandar yang juga Adun Belaga Datuk Liwan Lagang.
Selain itu, terdapat air terjun semula jadi di kawasan tasik tersebut yang boleh diakses melalui laluan mendaki.
Bagi pencinta alam yang meminati aktiviti lasak seperti pengembaraan dan pendakian gunung, ia merupakan laluan yang perlu dipertimbangkan.
Masing yang juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan berkata, terdapat banyak potensi yang dapat dibangunkan di kawasan Bakun.
“Selain dapat menjadi lokasi pilihan untuk sukan air, kami berharap ia dapat menjadi permata pelancongan di Sarawak,” jelasnya.
Dengan kawasan perairan yang luas, Masing berharap ia akan dapat menarik pelayar untuk menjadikan Tasik Bakun sebagai lokasi pilihan mereka selain menarik pelancong ke kawasan pedalaman yang mempunyai keindahan fauna dan subur itu.