KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) membenarkan semua taska dan tadika beroperasi di zon merah mulai 17 Mei 2021 dengan memastikan pematuhan kepada SOP yang ketat sebelum, semasa dan selepas anak-anak hadir ke taska dan tadika.
Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, keputusan itu di buat selepas pihaknya merujuk kepada JPBN.
“Setakat 11 Mei 2021, kita telah menerima 102 permohonan untuk pengoperasian semula taska dan tadika swasta di Sarawak.
“Pengoperasian semula tadika swasta melibatkan 286 orang anak-anak petugas barisan hadapan dan 1,022 orang anak-anak yang ibu bapa mereka berkhidmat dalam perkhidmatan perlu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Fatimah, kebenaran untuk beroperasi semula juga melibatkan 96 buah Institut Pendidikan Awal Kanak-Kanak Sedidik dengan 251 orang anak-anak petugas barisan dan 701 orang anak-anak pekerja perkhidmatan perlu.
“Pengoperasian semula turut melibatkan 1,087 buah IPAKK Kemas dengan 1,474 orang anak-anak petugas barisan hadapan dan 2,228 orang anak-anak pekerja perkhidmatan perlu serta 176 buah IPAKK Perpaduan dengan 155 orang anak-anak petugas barisan hadapan dan 1,141 orang anak-anak pekerja perkhidmatan perlu,” jelasnya.
Menurutnya, dalam tempoh sukar mendepani cabaran Pandemik Covid-19, keputusan ini akan memberi nafas lega kepada ibu bapa yang perlu bekerja selain memastikan anak-anak tidak tercicir daripada mengikuti sesi pembelajaran di Taska dan Tadika.
“Setakat ini terdapat 234 buah Taska dan 2,795 buah Tadika berdaftar di Sarawak,” ujarnya.