Taska dan tadika diminta berwaspada

KUCHING: Pengendali taska dan tadika di seluruh Sarawak diingatkan mengambil langkah berjaga-jaga ekoran kemunculan koronavirus yang melanda dunia kini.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, pengendali pusat kanak-kanak prasekolah itu perlu patuh dengan amalan harian sebelum memulakan kelas.

“Setiap pagi, semua kanakkanak perlu diambil suhu badan serta diperiksa tangan dan kaki di luar kawasan taska dan tadika. “Sekiranya, kanak-kanak itu mempunyai suhu badan tinggi, maka, ibu bapa harus dimaklumkan dengan segera oleh pengendali taska dan tadika,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Wisma Bapa Malaysia semalam.

Tegas Fatimah lagi, ibu bapa  pula harus membawa segera anak mereka bertemu dengan doktor segera apabila didapati tidak sihat. “Meskipun tiada kanak-kanak disyaki dengan koronavirus setakat ini, namun, langkah berjaga-jaga perlu dititikberatkan dari semasa ke semasa.

“Ini kerana, tahap imun kanakkanak lebih rendah berbanding golongan dewasa,” ujarnya. Terdahulu, Uggah memberitahu terdapat lapan kes disyaki koronavirus di Sarawak setakat ini melibatkan individu berusia 20 tahun hingga 50 tahun.

Daripada jumlah itu, enam adalah negatif kes manakala dua lagi masih menunggu keputusan ujian sampel darah.

Suara Sarawak