Taska dibenar beroperasi

KUCHING: Bermula 9 Jun depan semua taman asuhan kanak-kanak (taska) di Sarawak bakal beroperasi semula mengikut Garis Panduan Pembukaan Taska serta Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan oleh Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak (KWKPK).

Manakala untuk tadika, ia belum lagi dibenarkan untuk beroperasi kerana bilangan kanak-kanak yang jauh lebih tinggi dan perbincangan lanjut mengenai SOP masih dilakukan oleh KWKPK.

Menterinya Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, berdasarkan SOP yang dikeluarkan kementeriannya termasuk daripada Kerajaan Persekutuan, ia akan diguna pakai sepanjang taska beroperasi.

“Sebenarnya SOP telah disediakan awal. Apabila Kerajaan Persekutuan mengeluarkan SOP ini pada 2 Jun lalu dan kita bandingkan, ia banyak persamaan.

“Kita bentangkan SOP ini kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) selepas berbincang dengan Bahagian Pembangunana Pendidikan Awak Kanak-kanak termasuk Persatuan Pengasuh berdaftar.

“JPBNS bersetuju untuk membenarkan taska di Sarawak dibuka semula,” katanya pada sidang media Penyampaian Geran Tahunan di Jabatan Kebajikan Masyarakat di sini.

SOP ini membabitkan persediaan sebelum memulakan operasi melibatkan pembasmian dan nyahkuman premis prasekolah selain pengajar perlu berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk bertugas.

“Mereka perlu melengkapkan borang pengisytiharan kesihatan sebelum mula bertugas pada hari pertama selepas tamat tempoh PKP termasuk perlu mengawal pergerakan mereka 14 hari sebelum hari pertama beroperasi.

“Ini berkaitan amalan kebersihan diri yang baik, langkah pemantauan dan pemeriksaan kesihatan, penggunaan pembaca suhu secara sukarela serta prosedur pembersihan dan nyahjangkitan,” ujarnya lagi.

Jelasnya, semasa ketibaan kanak-kanak ke taska, semakan dan buku log harian serta senarai semak bersama-sama ibu bapa perlu dilengkapkan seperti biasa termasuk proses mengambil bacaan suhu kanak-kanak yang perlu mencuci tangan sebelum masuk ke dalam kelas.

“Sekiranya kanak-kanak ini mencatatkan suhu tidak sihat untuk berada di dalam taska , ibu bapa dinasihatkan membawa pulang anak atau membawa menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Selain itu, susunan meja antara satu sama lain juga diketepikan untuk mengalakkan kanak-kanak ini melakukan penjarakan sosial.

Paling penting kita tidak mahu mereka berada dalam keadaan sesak, malah pelbagai aktiviti juga telah dirancang,” katanya lagi.

Sehubungan itu katanya untuk memastikan pelaksanaan ini difahami, taklimat oleh guru dan pengasuh akan dilakukan kepada setiap ibu bapa bagi memastikan mereka memahami akan keadaan operasi taska sebelum semasa dan selepas ia beroperasi.

Jelas Fatimah, taska yang akan terlibat boleh membuat rujukan Garis Panduan Pembukaan Taska yang telah dikeluarkan oleh KWKPK di laman web kementerian https:// kwkpk.sarawak.gov.my

Suara Sarawak