Tauke emas diserbu!

KUCHING: Kejatuhan harga emas di pasaran menyaksikan rata-rata kedai emas di bandar raya ini dibanjiri pelanggan sejak beberapa minggu lalu.

Dengan harga serendah RM265 satu gram bagi emas 916 dan RM280 satu gram untuk emas 999 pada awal Mac, sudah tentu ia menarik ramai pelanggan merebut peluang membelinya sebagai pelaburan masa hadapan.

Salah seorang peniaga emas di Jalan Carpenter di sini yang enggan dikenali berkata, jualannya meningkat secara drastik sejak harga emas menurun baru-baru ini berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Malah semasa PKP langsung tiada jualan emas, tetapi dengan kejatuhan harganya, orang ramai menggunakan wang yang ada untuk membeli emas.

“Mungkin kerana mereka tidak dapat pergi melancong, jadi lebihan wang digunakan untuk membeli emas.

“Saya sangat bersyukur dengan peningkatan jualan ini walaupun tidak mempunyai platform dalam talian bagi mempromosikan barang kemas,” katanya kepada Suara Sarawak ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, masyarakat lebih suka melabur emas kerana lebih bernilai berbanding membuat pelaburan melalui bank yang memberi pulangan faedah sangat rendah.

“Jadi ia satu pelaburan yang bernilai dan apabila harga emas meningkat, pelanggan yang memutuskan untuk menjual atau menaik taraf emas mereka akan mendapat keuntungan.

“Selain itu, menjual emas lama dan menggantikan dengan emas baharu menjadi trend pelanggan sekarang,” jelasnya.

Ujarnya, trend pelanggan memilih barang kemas emas yang lebih ringan kerana ia lebih murah, namun ada juga yang memilih emas lebih berat bergantung dengan bajet masing-masing.

Tambahnya, pandemik Covid-19 dan sekatan perjalanan menyebabkan pelanggan dari Semenanjung Malaysia dan Indonesia tidak dapat datang ke negeri ini membeli emas.

“Kebiasaannya mereka suka membeli emas dari Malaysia kerana emas negara mereka tidak padu seperti di sini termasuk dari segi kualiti dan reka bentuk.

“Atas faktor ini, terima kasih kepada kerajaan kerana telah mengawal kualiti emas negara,” katanya lagi.

Sementara menurut pekerja kedai emas berdekatan yang turut enggan dikenali, pelanggan datang tidak putus-putus sejak harga emas turun.

“Kebanyakan pelanggan berkata jika mempunyai wang lebih, mereka akan membeli emas kerana percaya ia lebih berbaloi berbanding simpanan wang tunai dalam bank.

“Saya rasa ini mungkin kerana bank tidak menawarkan kadar faedah yang tinggi selain pelanggan lebih mudah bagi mereka untuk melepaskan emas sebagai pertukaran wang berbanding perlu berurusan dengan bank,” katanya.

Beliau berkata, tidak ada sasaran jualan khusus yang ditetapkan oleh majikannya kerana mereka berpuas hati dengan hakikat perniagaan masih dapat meneruskan operasi dalam krisis pandemik ini.

“Semasa PKP, kami langsung tidak membuka kedai, namun bersyukur apabila dibuka ramai pelanggan menunggu kami.

“Saya boleh katakan hampir semua jenis barang kemas emas di kedai kami akan dibeli pelanggan,” tambahnya.

Suara Sarawak