Tauke muda nanas Gedong

BARU berusia 30 tahun, namun Mohd Nazrin Kamel wajar disebut sebagai belia tani yang berjaya hasil usaha penanaman nanas di tanah sekitar 20 ekar dekat Gedong.
Beliau mampu menjana pendapatan RM15,000 sebulan.
Setiap bulan, ladang nanas Mohd Nazrin mampu menghasilkan sekitar 5,000 biji dan dijual ke pasaran tempatan dengan harga RM3 hingga RM4 sebiji.
Harga ini adalah berdasarkan saiz dan jenis nanas.
Di ladang ini, Mohd Nazrin menanam dua jenis nanas yang semakin popular dalam kalangan penduduk tempatan, iaitu jenis Moris dan MD2.

“Namun bagi pasaran tempatan di Sarawak nanas jenis Moris menjadi pilihan penduduk kerana rasanya yang sedap dan mudah didapati, namun nanas MD2 belum menjadi pilihan penduduk tempatan mungkin disebabkan ia masih baharu.
“Bagaimanapun nanas MD2 tidak kurang hebat dan sedapnya berbanding dengan nanas lain dan kelebihan nanas MD2 ialah ia mudah diurus kerana tidak mempunyai duri pada daun atau mata pada buahnya,” kata Mohd Nazrin semasa ditemui di ladangnya di jalan Gedong-Simunjan kirakira 12 kilometer dari Pekan Gedong.
Mohd Nazrin mula mengusahakan tanaman nanas sejak 2017 setelah mendapat galakan daripada ibu bapanya selain mendengar dorongan Ahli Dewan Undangan Negeri N.26 Gedong, Datuk Mohd Naroden Majais yang sentiasa menggalakkan penduduk terutama anak-anak muda supaya mengusahakan kawasan tanah terbiar dengan aktiviti pertanian.
Dengan sedikit modal yang disediakan oleh orang tuanya, Mohd Nazrin membersihkan kawasan tanamannya secara berperingkat-peringkat.
Setelah semua kerja-kerja membersih kawasan termasuk membina saliran air dan menyediakan beberapa kemudahan asas di ladang itu, barulah Mohd Nazrin menanam benih nanas.
“Selain mendapat modal daripada orang tua, saya juga mendapat ban tuan dan nasihat daripada beberapa agensi kerajaan seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di Sarawak dan Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia.
“Agensi ini banyak membantu saya sama ada membantu dalam urusan pemasaran dan khidmat nasihat serta menyediakan bantuan asas yang lain,” katanya.
Menurut Mohd Nazrin, untuk mendapatkan hasil setiap bulan, kerja menanam nanas bagi kedua-dua jenis ini dilakukan secara berperingkat-peringkat.
Katanya, ini kerana nanas bukanlah jenis tanaman bermusim kerana ia boleh tumbuh dan mengeluarkan hasil pada bila-bila masa.
“Apa yang penting kawasan tanaman sentiasa dibersihkan dan pohonnya sentiasa dibaja.
“Oleh kerana saya menjadikan bidang pertanian sebagai perniagaan maka saya sentiasa mementingkan produk berkualiti.
Ini penting bagi menjamin pelanggan atau pemborong buah nanas yang saya hasilkan sentiasa berpuas hati,” katanya.
Mohd Nazrin yang belum mempunyai pasangan hidup kini tinggal bersama-sama keluarganya di Kampung Kanchong Baru Gedong.
Beliau mendapat pendidikan sehingga tingkatan 5 di SMK Gedong.
Mohd Nazrin juga pernah melanjutkan pelajaran dengan mengikuti kursus vokasional dalam bidang elektrik di GiatMara, namun gagal.
“Untuk tidak membuang masa dan mengelakkan diri daripada menganggur di kampung, saya bersedia menerima nasihat dan galakan daripada orang tua supaya mengusahakan sebidang tanah untuk tanaman nanas.
“Sehingga kini permintaan buah nanas di kawasan Batang Sadong dan Kota Samarahan masih tinggi dan hasil pengeluaran nanas sedia ada di Gedong dan Simunjan masih belum mencukupi untuk memenuhi permintaan nanas setiap bulan,” katanya.
Seperti tanaman lain, Mohd Nazrin tidak sunyi daripada masalah di ladangnya, apabila tanaman nanasnya kerap diganggu binatang liar seperti kera dan serangga.
Namun masalah ini dapat diatasi dengan cara kerap berada di kawasan ladang dan menggunakan racun pemusnah serangga perosak yang dibenarkan.
Mohd Nazrin berterima kasih kepada orang tua dan seluruh keluarganya terutama Datuk Mohd Naroden serta beberapa agensi Kerajaan yang sentiasa memberi dorongan dan galakan kepadanya untuk maju dalam bidang pertanian.
Menurut Mohd Nazrin, hasil daripada sokongan dan galakan ini, dia bukan sahaja berjaya memajukan tanah yang sebelum ini terbiar, membantu ekonomi keluarga tetapi dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di Gedong.
Mohd Nazrin yakin kawasan Gedong mampu menjadi pengeluar utama nanas di Sarawak jika beberapa kawasan yang masih terbiar dan sesuai di kawasan ini terus dimajukan dengan tanaman nanas secara komersial, selain tanaman kelapa sawit dan sebagainya.