Tawarkan Sijil Pengembaraan Pelancongan

BETONG: Bermula sesi Jun tahun hadapan, Kolej Komuniti Betong bakal menawarkan program baharu iaitu Sijil Pengembaraan Pelancongan bagi melahirkan individu berkemahiran dalam industri pelancongan.

Pengarahnya Andrew Douglas Gudam berkata, ini satu peluang yang amat besar untuk anak muda yang berminat kerana mereka akan berpeluang mengetahui tentang perkembangan industri pelancongan.

“Pengenalan Sijil Pengembaraan Pelancongan di Kolej Komuniti Betong akan berfungsi sebagai ‘feeder’ kepada Politeknik METrO Betong Sarawak (PMBS) yang menawarkan Diploma Pengurusan Pelancongan.

“Lebih daripada itu, kami ingin penuntut mengetahui perkembangan industri pelancongan sekali gus akan mendedahkan mereka dengan peluang pekerjaan yang berkaitan dengan industri itu,” katanya kepada Suara Sarawak baru-baru ini.

Jelasnya, menerusi silibus yang ditetapkan diyakini dapat memastikan para penuntut Kolej Komuniti Betong kelak mengenal pasti komponen asas tempat tarikan pelancong, hotel, restoran dan sebagainya.

“Penuntut akan menimba ilmu tentang rekreasi pelancongan, tempahan dan tiketan, interpretasi pelancongan serta operasi pelancongan pengangkutan.

“Saya harap apabila kemasukan dibuka kelak, anakanak kita dapat merebut peluang ini… kuota bagi setiap sesi hanya 15 orang,” ujarnya menambah Sijil Pengembaraan Pelancongan ini akan menggantikan Sijil Pelukis Pelan yang ditawarkan selama ini. Syarat kemasukan terbuka kepada warganegara Malaysia serta lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Yuran pengajian sebanyak RM200 dikenakan bagi setiap semester.

Kolej turut menawarkan bantuan kewangan RM300 sebulan kepada penuntut yang layak.

Untuk perkembangan lanjut, orang ramai boleh menghubungi talian 083-471830 atau melawati laman sesawang rasmi www. kkbetong.edu.my atau boleh mengunjungi Facebook (fb. com/KolejKomunitiBetong) atau Instagram (kkbetong).

Suara Sarawak