TBS lancar aplikasi Jejak Asnaf versi 3, bantu golongan yang memerlukan

KUCHING: Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) melancarkan aplikasi Jejak Asnaf versi ke-3 Jumaat dalam usaha memastikan tiada golongan asnaf tercicir daripada menerima bantuan sewajarnya

Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie berkata, aplikasi mudah alih tersebut memberi peluang kepada masyarakat umum mengesan, melapor, menyiasat dan memberi kelulusan awal kepada TBS tentang potensi asnaf yang telah dikenal pasti.

“Versi terbaharu ini merupakan penambahbaikan dan pembaharuan yang lebih menyeluruh untuk dua versi terdahulu dan ia boleh dimuat turun melalui aplikasi Google Play dan Apple Store.

“Ia membolehkan masyarakat umum yang prihatin mengambil gambar, kemudian melakukan penyiasatan dengan bertanyakan beberapa soalan kepada golongan yang mereka rasakan perlu dibantu.

“Mereka hanya perlu mengikut arahan dan bertanyakan soalan yang dinyatakan dalam aplikasi ini kepada asnaf, ia seperti kakitangan TBS itu sendiri yang menyiasat,” katanya pada sidang media pelancaran Jejak Aplikasi Asnaf versi ke-3 di sini, hari ini.

Tambahnya, aplikasi tersebut juga dapat memberi maklum balas kepada TBS serta mengesahkan sama ada golongan asnaf itu telah berdaftar di TBS.

Pengurus Besar TBS… Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie

Suara Sarawak