Trending

Teacher Lindsay disenangi ramai

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

DIGELAR “Teacher Lindsay” oleh pelajarnya.

Itulah Lindsay Rogene, 32, berasal dari Kuching, yang berkhidmat di Kapit.

Meskipun berjauhan dengan keluarga, ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berbakti dalam bidang yang diminati sejak kecil.

“Menjadi seorang guru merupakan impian dan cita-cita saya, dan saya bangga apabila berjaya mencapai cita-cita meskipun agak lambat.

“Saya mendapat tawaran menjadi seorang guru di SMK Kapit No.2 pada usia 31 tahun.

“Namun bagi saya usia bukanlah halangan untuk mengecapi kejayaan dalam mencapai cita-cita yang saya impikan selama ini,” katanya ketika ditemu bual Suara Sarawak.

Pengorbanan Berjauhan daripada keluarga tercinta bukan perkara mudah bagi sesetengah orang terutama apabila terpaksa meninggalkan orang tua yang semakin dimamah usia. 

Namun bagi Lindsay, ia bukan halangan.

Dalam perjuangannya sebagai pendidik, beliau sanggup menempuh perjalanan beribu batu dari kampung halamannya untuk sampai ke Kapit.

“Perjalanan dari Kuching ke Kapit mengambil masa lapan jam dan ia bukan penghalang untuk saya pulang hujung minggu, menjenguk keluarga di kampung.

“Dengan keadaan jalan raya yang ada sesetengahnya masih dalam proses pembinaan, saya tetap gagahkan diri untuk menempuhnya demi melerai rindu terhadap keluarga tersayang.

“Biasanya saya akan pulang pada petang Jumaat dan akan kembali ke Kapit pada pagi Ahad.

Perjalanan tersebut memenatkan tetapi saya tetap meneruskannya demi mencurahkan ilmu kepada anakanak didik saya,” katanya.

Di sebalik kesibukannya, guru yang mengajar pelajar tingkatan enam ini sangat komited mendidik anak-anak muridnya meskipun harus memikul pelbagai tanggungjawab.

Setiap hari, beliau perlu menyediakan bahan-bahan untuk sesi pembelajaran bagi memudahkan proses pembelajaran pelajarnya.

Bertugas di kawasan yang jauh dari kesibukan kota memerlukan persiapan rapi dengan pelbagai masalah dan kemungkinan.

Lindsay berkata, cukup mencabar bagi beliau untuk mendapatkan bahan mengajar terutamanya sumber daripada Internet kerana agak sukar untuk mendapatkan jaringan Internet.

Cabaran “Saya menyewa di sebuah rumah yang mempunyai jaringan Internet yang tidak lancar sehingga menyukarkan saya untuk mendapatkan bahan persediaan untuk mengajar.

“Kadang-kadang saya terpaksa memandu hingga ke pekan untuk mendapatkan jaringan Internet yang lancar.

“Adakalanya saya memandu seorang diri pada waktu malam kerana saya memerlukan bahanbahan untuk memudahkan sesi pembelajaran pelajar saya,” ujarnya.

Meskipun berdepan cabaran sedemikian, tidak pernah terdetik dalam hati Lindsay untuk berhenti berkhidmat sebagai pendidik, malah ia banyak mengajarnya erti kesabaran.

Sekarang, Lindsay belum lagi menyatakan hasratnya untuk berpindah ke daerah yang lebih maju kerana beliau seronok dengan keadaan sekarang.

Tambahan pula, penduduk di kawasan tersebut sangat baik dan menghargai pengorbanan beliau sebagai seorang guru. Beliau sering mendapat hadiah daripada para pelajarnya semasa sambutan Hari Guru.

Malah, ibu bapa pelajarnya juga sering menghantar bekalan bahan mentah kepadanya untuk dijadikan lauk.

Selain itu, Lindsay juga mengakui bahawa sepanjang berkhidmat di Kapit, jarang membeli bahan masakan di pasar kerana penduduk di sana sangat murah hati berkongsi rezeki dengannya.

Keadaan ini membuatnya belum terfikir untuk memohon perpindahan ke destinasi lain.

Harapan Setiap insan mempunyai harapan tersendiri termasuk gadis Bidayuh ini.

Sempena Hari Guru, Lindsay berharap pelajarnya akan terus berusaha mencapai kejayaan demi menjamin masa depan.

Beliau berpesan kepada mereka yang baru sahaja bergelar pendidik agar jangan mudah berputus asa meskipun berhadapan dengan pelbagai cabaran.

“Pesanan ini khas saya tujukan kepada pelajar saya.

Belajarlah bersungguhsungguh kerana kami sebagai guru ini telah berkorban masa dan tenaga demi memastikan murid-murid mendapat pendidikan yang selayaknya.

“Suatu hari nanti jika ada antara anda semua yang menjadi warga pendidik, didiklah pelajar dengan penuh kesabaran dan kita perlu sedar sebelum berjaya, kita juga pernah berada di posisi terendah,” katanya.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru