TEATER Si Pemabuk yang dipentaskan pada 6 September lalu, pada jam 8.30 malam di Balai Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak, berjaya meninggalkan kesan mendalam kepada penonton yang hadir apabila mengetengahkan realiti kehidupan belia kampung melalui pendekatan yang jujur dan berlapik.
Pementasan arahan Fauzi Abdillah itu menyaksikan panggung dipenuhi emosi, tawa sinis dan renungan serius hasil gabungan lakonan mantap serta naskhah yang sarat dengan mesej sosial tentang kealpaan dan perubahan sikap.
Barisan pelakon yang terdiri daripada Abdul Rahman, Deddy AlFayad, Mat Ku, Horiati Safura, Surina Mohamad, serta Bob Maulana dan Suut Yusuf berjaya menghidupkan watak masingmasing dengan penuh komitmen dan keserasian yang jelas terpancar di atas pentas.
Watak Wak Senail, lakonan Abdul Rahman, menjadi tunjang pementasan apabila berjaya memaparkan susuk perantau dari Surabaya yang tegas namun berjiwa besar
. Beliau ialah pemilik warung yang bukan sekadar mencari rezeki, malah membawa misi mendidik anak-anak muda Kampung Mati Segan Tak Mahu.
Kampung tersebut digambarkan sebagai simbol masyarakat yang berdepan krisis sikap apabila belia di kampung itu leka membuang masa dengan aktiviti tidak berfaedah, sekali gus mengundang persoalan tentang hala tuju generasi muda masa kini.
Watak yang dilakonkan oleh Mat Ku, Safura, Bob dan Suut tampil sebagai cerminan realiti belia yang ‘mabuk’ dengan keseronokan dan kebebasan sehingga hilang arah serta mengabaikan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan komuniti.
Judul Si Pemabuk ternyata berjaya ditafsirkan secara simbolik, bukan semata-mata berkaitan alkohol, tetapi kemabukan terhadap kemalasan, keegoan dan keengganan untuk berubah.
Konflik yang dipersembahkan berkembang secara semula jadi, bermula dengan penolakan terhadap nasihat Wak Senail sebelum beralih kepada kesedaran perlahan yang menyentuh emosi penonton.
Sentuhan pengarahan Fauzi Abdillah menyerlah melalui tempo pementasan yang kemas, penggunaan ruang pentas yang berkesan serta dialog bersahaja yang dekat dengan kehidupan masyarakat kampung.
Walaupun kehadiran penonton tidak memenuhi keseluruhan ruang panggung, suasana persembahan kekal hidup dengan respons penonton yang jelas terkesan, khususnya dalam babak-babak klimaks yang sarat pengajaran.
Beberapa penonton menyifatkan pementasan ini sebagai karya yang berani dan relevan kerana berupaya menegur tanpa menghakimi serta menyampaikan mesej perubahan dengan penuh hikmah.
Sokongan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dana Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) dilihat memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran produksi, sekali gus membuka ruang kepada pementasan teater yang bersifat mendidik dan membina.
Namun begitu, pementasan ini turut menimbulkan persoalan tentang keperluan sokongan yang lebih menyeluruh daripada pihak berwajib, khususnya dalam aspek promosi dan sokongan moral terhadap seni pentas tempatan.
Secara keseluruhan, Teater Si Pemabuk membuktikan teater masih menjadi medium yang ampuh untuk menyuarakan realiti sosial dan menyemai kesedaran, sekali gus menjadikannya karya yang wajar dikenang serta diperluas pementasannya pada masa hadapan.






