ARTIKEL

RAKAM KENANGAN… Snowdan, Suriya (lima kanan) dan yang lain menunjukkan poster BCG 2.0 pada sidang media yang diadakan, hari ini.

Tebingan Kuching jadi pentas BorneoCraft Global 2.0

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dari anyaman dan tenunan hingga seramik serta hasil manik, Tebingan Kuching bakal menjadi pentas yang menghimpunkan warisan kraf dari Sarawak, Malaysia dan luar negara apabila 200 usahawan mengambil bahagian dalam Ekspo dan Persidangan BorneoCraft Global 2.0 (BCG 2.0), November ini.

Berlangsung dari 25 hingga 29 November, acara berkenaan dijangka menarik kira-kira 30,000 pengunjung menerusi pelbagai pengisian yang menggabungkan pameran, demonstrasi, bengkel, persidangan dan persembahan kebudayaan.

JAWAB SOALAN… Snowdan menjawab soalan daripada pemberita.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan berkata, daripada 200 usahawan yang mengambil bahagian, 140 merupakan penggiat kraf Sarawak, manakala 30 dari negeri-negeri lain di Malaysia dan 30 lagi peserta antarabangsa.

“BCG 2.0 merupakan langkah seterusnya dalam usaha kita membangunkan, mengembangkan dan membimbing penggiat kraf, khususnya penggiat tempatan.

“Kita mahu memberi peluang kepada mereka untuk bertemu pembeli, menimba ilmu daripada pakar antarabangsa serta mengembangkan kemahiran yang dimiliki menjadi perniagaan yang mampan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain pameran katanya, pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri proses penghasilan pelbagai produk kraf, menyertai bengkel serta berinteraksi secara langsung dengan penggiat tempatan dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kraf Sarawak merangkap Pengarah Projek BCG 2.0, Suriya Charles Buas berkata, bertemakan ‘Menyulam Tradisi, Menjana Inovasi’, kawasan Tebingan Kuching akan diubah menjadi sebuah perkampungan kraf terbuka menerusi tujuh zon bertema sepanjang acara itu berlangsung.

Katanya, antara zon utama ialah Pavilion Premium Sarawak, International Crafts Pavilion, Malaysian Crafts Pavilion, Crafts Market Lane dan The Rasa Sarawak Food Hall yang menghimpunkan kraf, makanan serta pengalaman kebudayaan dalam satu lokasi.

“Pavilion Premium Sarawak khususnya akan mengetengahkan hasil kraf berkualiti tinggi negeri ini termasuk pua kumbu, songket, keringkam, hasil manik, bakul dan seramik.

“Pada masa sama, pengunjung berpeluang menyaksikan demonstrasi kraf secara langsung, mengikuti kelas induk yang dikendalikan artis antarabangsa dan tempatan serta menyertai pelbagai bengkel termasuk penghasilan seramik.

“Pelajar sekolah turut akan dilibatkan bagi memberi pendedahan kepada mereka terhadap seni dan warisan kraf,” katanya.

BCG 2.0 turut membuka ruang kepada penggiat muda dan bakat baharu yang membawa pendekatan lebih inovatif, termasuk mereka yang menggabungkan elemen warisan dengan kreativiti kontemporari.

Pada sebelah malam, suasana di Tebingan Kuching akan diteruskan dengan persembahan kebudayaan dan muzik di pentas Ruai, selain pengunjung berpeluang menikmati pelbagai makanan tempatan di The Rasa Sarawak Food Hall.

Selain ekspo, Simposium Antarabangsa pada 25 dan 26 November di Riverside Majestic Hotel, Puteri Wing akan menghimpunkan 25 penceramah antarabangsa dalam sembilan sesi yang merangkumi aspek warisan, teknik, sumber, pasaran, penaung, masa depan, pendidikan dan pelancongan kraf.

Kemuncak BCG 2.0 pada 27 November pula menyaksikan Majlis Makan Malam Gala dan Anugerah Kraf Antarabangsa di Dewan Amity, Kompleks UNIFOR termasuk penyampaian anugerah oleh Asia Pacific Crafts Alliance (APCA) dan ASEAN Handicraft Promotion and Development Association (AHPADA).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU