
KUCHING: Demi mengharumkan nama Sarawak, Kanang Usin, 42, bertekad menyertai misi menawan Gunung Everest walaupun ia merupakan cabaran yang amat besar baginya.
Pegawai VAT 69 Komando, Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertugas di Kem Ulu Kinta, Perak itu bersama-sama dua lagi anggota VAT 69 Komando dan tujuh pendaki lain dijangka berangkat ke Nepal sebelum 15 April ini untuk misi Keluarga Malaysia Everest 2022.
Bagaimanapun, buat masa ini kekangan atau masalah yang dihadapi oleh anak kelahiran Rh. Semayong Binyo, Sebauh Bintulu itu adalah dari segi peralatan dan kewangan.
Justeru, Kanang menyuarakan harapan agar pemimpin atau kerajaan Sarawak dapat menghulurkan bantuan kepadanya bagi membolehkannya mengibarkan bendera Sarawak di puncak gunung tertinggi di dunia itu.
Beliau berkata sudah memohon dari beberapa pemimpin Sarawak namun belum lagi mendapat bantuan yang diperlukan, dengan kos keseluruhan yang diperlukan seorang pendaki dianggarkan sekurang-kurangnya RM50,000.
“Sebelum ini, kerajaan Kedah dan Pulau Pinang sudah memberi sumbangan kepada wakil (pendaki) masing-masing tetapi untuk Sarawak, saya belum mendapat apa-apa lagi,” katanya ketika ditemu-bual.
Menurut Kanang, beliau terdorong menyertai misi berkenaan bukan sahaja demi merealisasikan misi Keluarga Malaysia Everest 2022 tetapi juga membawa nama pasukan beruniform (PDRM) dan Sarawak.
“Tidak semua orang mendapat peluang untuk mendaki Gunung Everest dan tidak pernah ada pendaki dari Sarawak, berbangsa Iban termasuk dari pasukan beruniform yang pernah menawan gunung itu.
“Itulah yang mendorong saya terlibat dengan misi berkenaan untuk mewakili Sarawak dan PDRM,” katanya.
Mengenai persediaannya, Kanang berkata tidak berdepan masalah dari segi mental dan fizikal.
“Cuma yang perlu saya perbaiki ialah untuk menyesuaikan diri dalam keadaan sebenar di Gunung Everest yang berketinggian 8,848 meter dengan suhu yang sangat sejuk,” katanya.
Beliau yang gemar mendaki gunung dan sering menyertai pertandingan larian gunung menambah setakat ini, mereka sudah menjalani siri latihan pendakian di beberapa gunung di Semenanjung dan juga di Gunung Kinabalu.