Teknik, stamina Kuching City semakin meningkat

SETELAH empat hari mendidik skuad Kuching City FC, jurulatih, Irfan Bakti Abu Salim berpuas hati dengan respons yang ditunjukkan para pemain.
Malah menurutnya, para pemain menunjukkan peningkatan dari segi teknikal dan kecergasan.
“Alhamdulillah… pemain dapat menerima corak latihan saya,” ujar Irfan yang ditemui arena Suara Sarawak.
Yang pasti, Irfan Amat menitikberatkan aspek kecergasan. Beliau mahu setiap pemain berada pada tahap kecergasan maksimum.
“Saya mahu setiap pemain bekerja keras, bukan sahaja ketika latihan, malah ketika perlawanan sebenar nanti… saya mahu pemain sentiasa bergerak, bukannya menunggu bola,” tegas bekas jurulatih Selangor dan Terengganu itu.
Menurutnya lagi, masih terlalu awal untuk membuat penilaian 11 calon yang akan mengisi slot kesebelasan utama.
Oleh itu, beliau mahu memastikan semua pemain cergas sepenuhnya, sebelum Liga Premier bermuda pada 5 Mac depan.
Irfan memulakan tugas pada 21 Januari lalu selepas menjalani kuarantin. Bagaimanapun, dua import dari Brazil, Hudson Dias dan Leonardo Alves masih belum bersama pasukan.
Manakala seorang lagi import dari Brazil, Aylton Ferreira sudah pun bersama pasukan sejak minggu lalu, bersama-sama dua pemain baharu dari Terengganu dan Selangor, iaitu Muhammad Badrul Amin Hamid, 22, dan Mohd Rafiq Shah Mohd Zaim, 26.
Menurut Irfan, mereka akan mencari pasukan sesuai di sekitar Kuching untuk dijadikan rakan sparring dalam aksi persahabatan, memandangkan amat sukar untuk menentang pasukan dari Semenanjung sekarang ini.

Suara Sarawak