KUALA LUMPUR: Kemuncak Lanai Sdn Bhd, pembekal perkhidmatan dan peralatan minyak serta gas mendapati teknologi aplikasi kerja termajunya (AWP) boleh menjadi batu loncatan untuk berkembang ke Asean dalam masa terdekat.
Pengarah Jualan dan Pembangunan Perniagaannya, Amir Hisham Albakri berkata hasrat itu disokong oleh rakan kongsi penyedia teknologinya yang berpangkalan di AS, Construct-X, pemain global dalam penyelesaian kejuruteraan digital, pemerolehan dan pembinaan (EPC) yang inovatif.
Beliau berkata AWP, aplikasi yang dimasukkan dengan kecerdasan buatan (AI) akan membantu proses EPC menjadi lebih lancar selain mengurangkan kelewatan.
Beliau berkata syarikat itu mempunyai kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan kerja tersebut dan mempunyai liputan pasaran yang baik di Malaysia.
Ia ingin mengembangkan pasarannya dengan melibatkan diri dalam industri seperti tenaga dan tenaga boleh diperbaharui.
“Kami mahu berkembang secara geografi tetapi ingin membina asas yang kukuh di Malaysia sebelum ke luar negara,” katanya kepada Bernama di luar acara persidangan dan pameran Minyak dan Gas Asia 2023 semalam.
Kemuncak Lanai terlibat dalam empat jenis perniagaan, iaitu bekalan tenaga kerja profesional, yang membentuk tulang belakang syarikat, diikuti oleh kejuruteraan minor, AWP dan perniagaan perdagangan am.
“Perniagaan paling menguntungkan adalah dalam pembekalan tenaga profesional kerana kami mempunyai di antara 130 dan 150 orang yang kami bekalkan kepada perunding reka bentuk yang berbeza. Kami mempunyai kira-kira 80 orang di pejabat.
Perniagaan yang semakin meningkat ialah AWP kerana Petronas adalah pemacunya,” kata Amir Hisham.
Kemuncak Lanai berkata AWP boleh menjadi satu lagi penyumbang hasil yang ketara mulai tahun depan.
“Kami mahu menggunakan AWP dalam projek-projek lain tetapi tumpuan kini adalah pada projek medan gas Kasawari Petronas Carigali, yang mana AWP sedang dilaksanakan dalam penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) Kasawari, iaitu sebuah projek berskala mega.
“Platform induk utama, juga dikenali sebagai platform pemprosesan pusat, telah dihantar dan pembinaan platform CCS telah dimulakan.
Ia merupakan keputusan yang baik oleh Petronas untuk melaksanakan AWP bagi pembangunan CCS Kasawari.
Apabila anda menggunakan kaedah baharu, anda boleh mendapatkan penciptaan nilai yang lebih baik,” kata Amir Hisham.
Beliau berkata Petronas sedang memperoleh perisian itu dan Kemuncak Lanai pula menyokong bahagian perkhidmatan, katanya.
“Apabila mereka (Petronas) mempunyai projek baharu yang lain dan mereka mahu menerima pakai AWP, kami juga boleh melakukan tugas perundingan,” kata Amir Hisham.
Sebelum itu, Kemuncak Lanai menandatangani perjanjian perkongsian dengan Construct-X untuk merevolusikan perniagaan EPC melalui teknologi AWP bagi pengurusan pembinaan. Perkongsian itu akan melibatkan pemindahan dari segi pengetahuan, katanya. – BERNAMA