Trending

Teknologi bantu pekebun kecil

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

KUCHING: Industri minyak sawit perlu sejajar dengan kemajuan teknologi berikutan ia merupakan pemboleh ubah penting dalam mematuhi Peraturan Produk Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR).

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif DIBIZ Malaysia Sdn Bhd U.R. Unnithan berkata penyelesaian yang dipacu teknologi menawarkan langkah untuk menangani cabaran apabila mematuhi EUDR.

“Keterlihatan masa nyata melalui sistem blockchain atau Internet of Things (IoT) boleh memberikan ketelusan dalam rantaian bekalan, selain turut membolehkan kebolehkesanan.

“Sistem digital dapat membantu dalam mengumpul data transaksi rantaian bekalan pada masa nyata, memantau aktiviti penebangan hutan melalui pengimejan satelit masa nyata dan memudahkan penyimpanan rekod dalam repositori digital pada setiap nod rantaian bekalan termasuk pekebun kecil.

“Dengan melaksanakan imejan satelit, penderiaan jarak jauh dan data geospatial, ia menjadi lebih mudah untuk mengesan dan mengurangkan aktiviti penebangan hutan, memastikan pematuhan kepada amalan mampan,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata pekebun kecil dalam industri minyak sawit, yang menyumbang 50 peratus daripada pengeluaran dunia memainkan peranan penting dalam pengeluaran minyak sawit dan sering menghadapi halangan dari segi struktur, sosial dan ekonomi.

“Aplikasi mudah alih seperti DIBIZ menawarkan secara percuma kepada pekebun kecil dengan latihan, maklumat pasaran dan harga akan memperkasakan mereka dan meningkatkan taraf hidup mereka.

“Ini dapat merapatkan jurang maklumat dan melengkapkan pekebun kecil dengan pengetahuan dan sumber yang diperlukan untuk menerima pakai amalan mampan dan mengakses pasaran bernilai tinggi,” katanya.

Unnithan menjelaskan bahawa untuk mencapai pematuhan terhadap EUDR memerlukan kerjasama dalam kalangan pemain industri, platform teknologi dan pihak berkepentingan.

“Ekosistem digital yang komprehensif perlu diwujudkan, membolehkan perkongsian data yang lancar tanpa menjejaskan butiran komersial yang sensitif dan akan meningkatkan penyelarasan dalam kalangan pihak berkepentingan.

Usaha kerjasama ini akan memastikan pelaksanaan penyelesaian berasaskan teknologi yang berkesan.

“Melaksanakan kebolehkesanan secara menyeluruh pada masa nyata dalam industri minyak sawit adalah perlu dalam mengatasi pelbagai cabaran.

“Pengurusan rantaian bekalan, kekurangan kerjasama dan kebimbangan mengenai keselamatan dan privasi adalah antara halangan yang perlu ditangani.

Bagaimanapun, penyelesaian teknologi yang dicadangkan menangani semua kebimbangan industri dan menawarkan cara yang amat menjimatkan kos,” katanya.

Sebagai rumusan, katanya teknologi mempunyai potensi besar dalam memudahkan penyertaan pekebun kecil dan pematuhan terhadap EUDR.

“Pendapatan pekebun kecil yang meningkat adalah impak sosial utama yang ingin kami capai melalui mewujudkan ekosistem digital baharu ini.

Unnithan berkata teknologi blockchain DIBIZ menerima maklum balas dan perhatian yang positif daripada pihak berkepentingan termasuk syarikat multinasional yang berpangkalan di EU semasa delegasi menteri dari Malaysia dan Indonesia ke Brussels baru-baru ini. – Bernama

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru