Trending

Teknologi pemetaan cahaya”gemerlapkan” Ipoh,gamit pelancong ke Perak

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

IPOH: Berinspirasikan teknologi di Hutan Hujan Lumina di Singapura, kerajaan negeri melalui Pincer Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Studio akan mewujudkan satu lagi produk pelancongan baharu iaitu “Kinta Limestone Nightwalk” bagi pelancong yang gemarkan keunikan aktiviti riadah mereka.

Teknologi yang diaplikasikan di Hutan Hujan Lumina iaitu pertunjukan visual dan bunyi berkonsepkan pemetaan cahaya pasti menjanjikan keseronokan kepada pengunjung.

Pengarah Kreatif Pincer MBI Studio Mohamad Nadhir Zuhair Mohamad Nozi berkata industri pelancongan Perak memerlukan produk baharu terutama bagi menarik lebih ramai pelancong berkualiti berikutan ia semakin berkembang selepas dua tahun terjejas akibat pandemik COVID-19.

“Pincer MBI Studio bertanggungjawab memastikan kemeriahan dan kegemerlapan ‘Kinta Riverwalk’ suatu ketika dahulu bakal kembali menjadi ‘ikon malam’ dan destinasi santai di bandar raya Ipoh, inilah projek perintis  yang akan menjadi tarikan baharu kelak. 

“Kita mahu jadikan Lembah Kinta ini sebagai tempat yang mampu bersaing seperti Lembah Klang dari segi tempat menarik untuk dilawati dan wajib singgah buat semua lapisan umur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Pincer MBI Studio di sini.

Mohamad Nadhir berkata projek yang dijangka disiapkan pada fasa suku keempat tahun ini hanya boleh dilakukan pada waktu malam menggunakan teknik dan teknologi terkini dalam menghasilkan paparan dalam bentuk 3D.

“Kenapa kita nak buat seperti yang ada di Singapura kerana kita juga mempunyai anak seni tempatan yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini dan kita mahu wujudkan versi negara kita atau versi Perak itu sendiri,” katanya sambil menyatakan langkah berkenaan sebagai sebahagian usaha mempromosi Tahun Melawat Perak (TMP) 2024 dan Tahun Melawat Ipoh 2023. 

Menurut Mohamad Nadhir lagi, bandar raya Ipoh mampu menjadi platform utama mempromosi sektor pelancongan untuk menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke daerah itu sekali gus menginap di situ sebelum meneruskan perjalanan ke destinasi lain. 

“Kita tidak mahu pelancong jadikan Ipoh sebagai tempat ‘persinggahan’ sementara untuk menikmati makanan semata-mata dan mereka tidak bermalam di sini. 

“Rata-rata tinjauan yang kita lakukan mendapati mereka akan singgah di Ipoh dan akan bermalam di Pulau Pinang, begitu juga sebaliknya dari Pulau Pinang jadikan Perak seperti ‘RnR’ dan teruskan perjalanan ke Kuala Lumpur. 

“Kenapa mereka tidak bermalam di sini kerana tidak ada aktiviti malam atau daya tarikan waktu malam di Ipoh dan saya yakin jika wujudnya produk pelancongan baharu ini kelak mereka akan menginap untuk alaminya sendiri,” katanya. 

Justeru katanya, sudah sampai masa beliau selaku anak jati Perak melakukan sesuatu untuk merancakkan sektor pelancongan di dalam negeri melalui pengalamannya yang pernah terlibat secara langsung dalam industri seni visual pemetaan cahaya selain menjayakan projek di dalam dan luar negara.  

Pelajar jurusan Mekatronik Institut Jerman-Malaysia (GMI) itu berkata sebelum ini, beliau bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Sarawak pada 2019, menjayakan projek Tahun Melawat Johor 2020 termasuk Perbadanan Muzium Negeri Pahang selama tiga tahun. 

“Saya juga pernah bekerjasama dengan Disney Malaysia dan Astro sempena pelancaran drama bersiri Wizards of Warna Walk pada 2019 menukarkan lampu pada Menara Kuala Lumpur dengan penggunaan teknologi Internet Benda atau IoT mengikut warna citarasa mereka. 

“Itu sebab saya nak curahkan pengalaman yang saya ada melalui penglibatan di peringkat Majlis Belia contohnya, setiap daerah ada satu projek khas agar Perak secara keseluruhannya mampu bercahaya di daerah-daerah bukan sekadar di Ipoh sahaja,” katanya. – BERNAMA

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru