Teliti semula pengurangan polis anak Sarawak bertugas di Sarawak

KUCHING: Polis Diraja Malaysia (PDRM) diminta meneliti semula hasratnya mahu mengurangkan jumlah peratusan pegawai dan anggota dalam kalangan anak Sarawak yang berkhidmat di negeri asal mereka ketika ini.

Ahli Parlimen Kapit, Datuk Sri Alexander Nanta Linggi berkata perlu diperincikan, termasuk rasional di sebalik tindakan itu kerana menimbulkan keresahan dalam kalangan pegawai dan anggota terbabit, begitu juga keluarga mereka.

Katanya, ia turut mewujudkan banyak tanda tanya kepada masyarakat sendiri kerana rekod menunjukkan tidak timbul sebarang masalah atau isu membabitkan pasukan keselamatan itu di Sarawak sebelum ini.

“Bukan berniat mahu mencampuri hal ehwal pentadbiran PDRM atau Kementerian Dalam Negeri (KDN), namun penjelasan mengenainya adalah perlu bagi mengelak persepsi atau sentimen tertentu dalam kalangan rakyat Sarawak.

“Dan sebagai wakil rakyat yang mewakili suara Sarawak, perkara ini perlu dibangkitkan untuk diambil perhatian sewajarnya oleh pengurusan tertinggi PDRM di Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pada 20 November lalu, Pengarah Pengurusan PDRM Datuk Ramli Din dilaporkan berkata terdapat lebih 70 peratus pegawai dan anggota polis berkhidmat di Kontinjen Sarawak ketika ini dari kalangan anak Sarawak.

Katanya ia melebihi sasaran 40 peratus keanggotaan dalam kalangan anak jati negeri yang ditetapkan untuk bertugas di Sabah dan Sarawak, dengan langkah pengurangannya perlu dilaksanakan secara berperingkat.

Ini berhubung kait dengan isu penggiliran tugas, penempatan di jawatan sensitif dan memberi peluang kepada pegawai serta anggota yang lama berkhidmat di tempat lain untuk kembali ke negeri asal.

Bagaimanapun, Alexander yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata yang menimbulkan keresahan, proses itu membabitkan pengurangan sehingga 30 peratus, satu peratusan yang agak besar dan tentunya membabitkan keanggotaan pelbagai pangkat.

“Tiada halangan jika ia membabitkan pegawai kanan yang berpotensi membuka peluang kenaikan pangkat mereka, sama ada dipindahkan bertugas ke Bukit Aman, negeri atau daerah lain di luar Sarawak.

“Begitu juga pegawai dan anggota muda bertujuan memberi peluang menimba pengalaman penugasan yang boleh menyumbang kepada pengembangan karier kepolisan mereka,” katanya.

Namun, beliau berkata keresahan timbul sekiranya ia membabitkan pegawai dan anggota yang menghampiri usia berpencen serta sudah membuat persediaan sewajarnya untuk menempuh alam persaraan.

“Atau mereka yang sudah berkeluarga, di mana ini mungkin menimbulkan pelbagai kerumitan kerana terpaksa berjauhan dari keluarga masing-masing.

“Ini tentunya mewujudkan tekanan yang tidak sepatutnya ke atas pegawai dan anggota terbabit, khususnya keluarga mereka,” katanya.

Alexander turut menyatakan kebimbangan jika pegawai dan anggota terbabit dikenakan tindakan tertentu, termasuk peluang kenaikan pangkat yang disekat andainya gagal mematuhi arahan perpindahan dikeluarkan.

“Tentunya terdapat mekanisme lain yang lebih bersesuaian untuk proses kenaikan pangkat pegawai dan anggota terbabit, seterusnya kekal menabur bakti di negeri sendiri.

“Justeru, keprihatinan kepemimpinan tertinggi PDRM, khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador amat dialu-alukan bagi memperhalusi perkara ini dan mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.