Teluk Bako Buntal laluan migrasi burung air

KUCHING: Pendidikan dan kesedaran terhadap kepentingan burung air dan habitat pemuliharaannya memerlukan kerjasama dan sokongan daripada semua pihak di negeri ini.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh berkata, berikutan subjek burung air dan habitat pemuliharaan masih baharu beliau yakin cara berkesan untuk memupuk kesedaran mengenainya ialah melalui institusi pendidikan serta kajian berterusan.

“Sebagai contoh, kepelbagaian spesies burung dilihat berpotensi untuk pelancongan selain daripada nilai biodiversiti,” katanya sambil menambah spesies burung air kini diberi status haiwan dilindungi sepenuhnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan mesyuarat Rangkaian Laluan Burung Asean (AFN) Ke-2 di salah sebuah hotel terkemuka di sini, semalam.

Dalam pada itu, Len memberitahu Taman Negara Bako merupakan sebahagian daripada Teluk Bako Buntal berfungsi sebagai kawasan penting migrasi burung air.

“Teluk Bako Buntal meliputi kawasan seluas 2,800 hektar menjadi laluan migrasi burung dan tempat burung mencari makanan ketika musim sejuk.

“Rekod menunjukkan terdapat 32 spesies burung dengan jumlah 20,000 hingga 25,000 teluk tersebut dan sekitarnya pada musim puncak,” jelasnya.Justeru, beliau menegaskan Sarawak sentiasa memastikan kawasan perlindungan tersebut dijaga dan dipulihara bagi mengelak habitat dan ekosistem tersebut dirosakkan.

“Matlamat kita adalah untuk mempunyai sekurang-kurangnya 1 juta hektar Kawasan Perlindungan Penuh daripada 12.4 juta hektar daratan di negeri ini menjelang tahun ini,” katanya.

Dalam pada itu, mesyuarat tersebut mengumpulkan seramai 30 peserta terdiri daripada pakar-pakar dari negara seperti Filipina, Thailand, Singapura, Indonesia, Kemboja, Laos dan Malaysia.

Mesyuarat pertama tahun lepas diadakan di Singapura.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SFCSB Zolkipli Mohamad Aton, Pengarah Eksekutif Pusat Biodiversiti ASEAN (ACB) Dr Sheila Vergara dari Phillipines, Lembaga Pengarah Taman Negara Shufen Yang dari Singapura, Pengarah Jabatan Hutan Sarawak Hamden Mohammad, Timbalan Pengarah Jabatan Hutan Sarawak (JHS) Jack Liam.