Telus laksanakan projek pembangunan rakyat

MIRI: Setiap projek pembangunan di seluruh negeri perlu dilaksanakan dengan amanah dan telus agar kesejahteraan rakyat terjamin, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Jelasnya, semua pihak yang terlibat dalam projek pembangunan perlu menjalankan tugas dengan penuh jati diri dan berintegriti.

Menurut beliau, perunding projek tidak seharusnya bersikap lepas tangan dan mengambil yuran perundingan begitu sahaja, tapi perlu melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.

Beliau berkata demikian pada Majis Amanat Perdana Integriti (MAPI20) bertemakan Integriti Pemangkin Pembangunan di sini, semalam. “Perunding perlu menjalankan tugas dengan memastikan kerja-kerja berjalan lancar.

Ini merupakan salah satu tanggungjawab mereka sekali gus mengutamakan kualiti dalam setiap kerja dibuat,” katanya. Abang Johari menambah, setiap kontraktor dipilih dan pegawai kerajaan daripada agensi berkaitan perlu melaksanakan tugas yang telah diamanahkan dengan berintegriti demi kesejahteraan rakyat seluruh negeri.

“Antara projek infrastruktur yang perlu diberi perhatian adalah jalan raya, bekalan air dan bekalan elektrik kerana itu keutamaan yang ditekankan Kerajaan Sarawak,” ujarnya.

Sementara itu Menteri Di Pejabat Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip berkata, kementeriannya akan berusaha bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam memupuk dan membudayakan integriti dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, usaha tersebut selari dengan hasrat Abang Johari untuk menjadikan Sarawak sebuah negeri yang berintegriti menjelang 2030.

Talib berharap agar lebih ramai pegawai yang berintegriti serta mematuhi peraturan di samping ingin mewujudkan golongan anak muda berintegriti pada masa hadapan.

Pada majlis itu, sebanyak 2,200 peserta mengambil bahagian yang terdiri dari kementerian, agensi, majlis bandar raya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Turut hadir, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Jaul Samion dan Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Suara Sarawak