Lelaki dipercayai kekasih Aina ditahan

PADAWAN: Polis menahan seorang lelaki, dipercayai kekasih kepada Nur Afiqah Aina Mohd Rafik, susulan penemuan gadis berusia 14 tahun itu hari ini selepas sembilan hari dilaporkan hilang sejak 15 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata suspek, 20, dari Kampung Mang, Kota Samarahan yang bekerja sebagai mekanik  ditahan di sebuah kontena yang dijadikan tempat tinggalnya di Jalan Sudat, pada jam 4.50 petang tadi bagi membantu siasatan.

“Suspek mula mengenali mangsa tiga hari sebelum Hari Raya yang lepas dan tidak mengaku mangsa adalah teman wanitanya, cuma menggangap mangsa sebagai kawan biasa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Tapah dan akan direman esok.

Katanya kes akan disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Sementara, Aidil berkata Aina berjaya ditemui di pasaraya Mydin, Samariang kira-kira jam 3 petang tadi ketika hendak membeli kad sim telefon bimbit.

Katanya penemuan gadis itu dibuat susulan maklumat yang disalurkan oleh orang awam.

Suara Sarawak