ARTIKEL

Tempahan baju Raya kembali rancak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Tukang jahit kini menarik nafas lega kerana peralihan ke endemik secara langsung meningkatkan tempahan mereka terutama menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.

Pemilik Zie’s Tailor, Maziah Mohamad, 45, yang berpengalaman menjahit selama 18 tahun berkata, kini dia tidak menang tangan dan bersengkang mata sehingga 2 pagi untuk menyiapkan tempahan baju Raya.

Menurutnya, tempahan baju Raya pada kali ini lebih banyak berbanding 2022 selepas sekatan virus ditarik semula.

“Mungkin kita sudah dapat merayakan Hari Raya seperti biasa dan tidak terikat dengan sekatan pergerakan, jadi saya terima banyak tempahan pada tahun ini.

“Antara baju yang menjadi pilihan pelanggan termasuk baju kurung moden, kurta dan baju Melayu muat padan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Baju yang ditempah pula dikenakan bayaran berbeza mengikut fesyen, saiz dan jenis kain.

Menurut Maziah, baju kurta dikenakan bayaran serendah RM50 sehingga RM55 manakala baju kurta dan seluar RM70 hingga RM80.

Harga baju kurung moden yang dijahit pula serendah RM55 hingga RM65.

Ibu kepada empat anak itu turut memaklumkan bahawa dia sudah menutup tempahan baju Raya sejak Januari lalu kerana menerima banyak tempahan seawal Oktober tahun lalu.

Tidak cukup rehat, terpaksa tidur lewat dan bangun awal pagi adalah perkara biasa buatnya sebagai tukang jahit terutama menjelang perayaan.

Namun penat lelah Maziah berbaloi kerana meraih hasil lumayan sehingga RM2,000 sebulan untuk tempahan baju Raya tahun ini.

“Jika pada hari biasa pula, saya mampu meraih RM600 hingga RM700 sebulan.

“Pelanggan saya pula kebanyakannya dalam kalangan guru dari Miri.

“Biasanya, mereka menunjukkan gambar fesyen yang diingini dan menghantar kain mereka melalui khidmat pos,” tambah Maziah yang berasal dari Baram.

Bermula dengan hanya menjahit baju gaun untuk anaknya, kini Maziah berpengalaman hampir dua dekad dalam industri tersebut.

Maziah yang masih menyiapkan tempahan dari rumah berharap perniagaannya terus berkembang maju dan mampu membuka kedai sendiri suatu hari kelak. 

BERITA LAIN

Buka cawangan ikonik

GEORGE TOWN: Hong Leong Bank (HLB) meraikan lembaran baharu dengan pembukaan cawangan ikoniknya di Light Street, dekat sini, yang menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan dan komuniti

Syarikat penerbangan tentukan laluan

KUALA LUMPUR: Sebarang keputusan berhubung perkhidmatan penerbangan ke mana-mana laluan adalah keputusan komersial yang dibuat oleh syarikat penerbangan, kata Kementerian Pengangkutan (MOT). Dalam jawapan bertulis

BERITA TERBARU