Tempat letak kereta tanah perkuburan dinaik taraf

SARIKEI: Urusan menziarahi serta pengebumian menjadi lebih mudah selepas kawasan letak kereta berhampiran tanah perkuburan Yong Kiaw Chu Sien Sia, di sini, dinaik taraf oleh kerajaan.

Penduduk, Chan Chang, 35, berkata, tapak perkuburan itu sudah lama digunakan oleh penduduk di kawasan berdekatan.

Bagaimanapun katanya, keadaan tempat itu memerlukan nilai tambah termasuk naik taraf tempat letak kereta bagi memudahkan urusan pengebumian dan dikunjungi oleh ahli keluarga.

“Keadaan tempat letak kereta sebelum ini kurang selesa namun kerajaan mendengar suara hati kami apabila kawasan ini sudah dinaik tarafkan.

“Saya mewakili seluruh penduduk ingin mengucapkan terima kasih kepada Adun Repok Dato’ Sri Huang Tiong Sii,” katanya kepada Suara Sarawak.

Kawasan ini menyediakan lebih keselesaan kepada komuniti setempat.

Dalam pada itu, Huang berkata, projek berkenaan memberi keselesaan dan menyediakan akses perhubungan yang lebih memuaskan kepada komuniti setempat.

Setakat ini katanya, beliau berpuas hati dengan perkembangan terkini projek terbabit dan berharap memberikan manfaat kepada penduduk.

“Pelaksanaan semua projek ini membuktikan kerajaan GPS terus menunaikan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

“Justeru, rakyat perlu terus memberi kerjasama kepada kerajaan agar proses pembangunan DUN Repok dapat diteruskan tanpa masalah,” katanya.

Selain projek kerajaan negeri, Huang juga turun padang meninjau melihat secara lebih dekat projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) yang dilaksanakan di kawasan beliau.

Suara Sarawak