Tempoh penutupan lencongan masuk dan keluar Jalan Mc Dougall dilanjutkan

KUCHING: Tempoh penutupan lencongan masuk dan keluar Jalan Mc Dougall dilanjutkan sehingga 18 September ini bagi memberi laluan urusan persediaan sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka, 16 September ini.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Awang Din Awang Gani berkata laluan yang mula ditutup semenjak lima September lalu terpaksa dilanjutkan berikutan kerja-kerja pembinaan pentas utama VVIP dilakukan di kawasan berkenaan.

“Mana-mana kenderaan dari arah bulatan Ban Hock disarankan menggunakan Jalan Jalan Lebuh Wayang.

“Bagi pengguna jalan raya yang menuju ke gereja St. Thomas, Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary, Sekolah Kebangsaan St. Mary dan hotel Merdeka Palace boleh menggunakan Jalan Mc Dougall dengan membuat pusingan U di laluan yang ditetapkan sehingga 16 September 2019 jam 4 petang.

“Orang awam dari Jalan Tun Abang Haji Openg pula tidak dibenarkan memasuki jalan Mc Dougall kerana laluan telah pun ditutup sepenuhnya sehingga 18 September 2019,” jelas beliau dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati agar orang awam mengikuti arahan Jabatan Kerja Raya(JKR) dan Pegawai Polis Trafik bagi memudahkan urusan laluan lalu lintas sepanjang di kawasan terbabit.

“Pihak JKR telah menyediakan papan tanda dan petunjuk arah laluan manakala Pegawai Polis Trafik akan turut berada di kawasan tersebut bagi memberi arahan dan kawalan lalu lintas kepada pengguna jalan raya sepanjang penutupan jalan itu nanti.

“Kita tidak akan tergesa-gesa untuk mengambil sebarang tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana orang awam yang melanggar arahan pegawai polis yang bertugas demi kelancaran kelangsungan majlis,” tegasnya dalam kenyataan terbabit.

Beliau berkata, semua pengguna jalan raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan menggunakan jalan alternatif bagi mengelakkan kesesakan yang mungkin berlaku akibat penutupan jalan tersebut.

Ujarnya, sebarang pertanyaan lanjut boleh menghubungi Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuching di talian 082-221127 waktu pejabat iaitu jam 8 pagi sehingga 5 petang.