MUKAH: Tempoh perjalanan Dalat-Sibu dijangka dipendekkan daripada kira-kira dua jam 45 minit kepada satu jam selepas rangkaian jalan raya Sibu-Dalat, termasuk laluan penghubung Rassau-Bungan Besar sepanjang 4.32 kilometer, siap sepenuhnya.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, laluan penghubung berkenaan merupakan satu-satunya laluan yang masih terputus dalam rangkaian jalan raya Sibu-Dalat dan belum mendapat kelulusan.
“Jarak antara Sibu dan Dalat ketika ini adalah kira-kira 200 kilometer dengan tempoh perjalanan sekitar dua jam 45 minit.”
“Sekiranya rangkaian jalan raya baharu ini dapat disiapkan sepenuhnya, termasuk menyelesaikan laluan yang masih terputus itu, tempoh perjalanan dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar satu jam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Sarawakku Sayang (SKS) 2026 Bahagian Mukah, di Dataran Pehin Setia Raja, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak lima projek dicadangkan bagi membangunkan rangkaian jalan raya Sibu-Dalat, dengan empat daripadanya sudah mendapat kelulusan, termasuk tiga projek yang masih dalam peringkat perancangan dan satu telah siap.
Bagaimanapun, katanya, projek Jalan Rassau-Bungan Besar yang dianggarkan bernilai RM68 juta masih belum mendapat kelulusan dan diharap dapat diberi pertimbangan sewajarnya.
Sehubungan itu, Fatimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat memberitahu, lima laluan jalan raya di Bahagian Mukah dikenal pasti untuk dinaik taraf dengan anggaran kos keseluruhan RM591.3 juta bagi meningkatkan keselamatan dan keselesaan pengguna.
Ujarnya, cadangan berkenaan melibatkan laluan yang sempit serta mempunyai struktur jalan yang rosak dan mendap.
Ini termasuk Jalan Sungai Nai-Tanjung Gelam di Pulau Bruit, Daro; Jalan Pintasan Oya dan Jalan Oya-Dalat; Kuala Balingian; serta laluan penghubung atau lorong memotong di sepanjang Mukah-Matadeng dan Mukah-Oya.
“Cadangan tersebut turut melengkapi pembangunan di bawah Program Jalan Pesisir Sarawak yang melibatkan peruntukan RM1.432 bilion untuk menaik taraf jalan sepanjang 131.95 kilometer dari Balingian ke Tanjung Manis, selain pembinaan Jambatan Batang Igan, Batang Paloh dan Muara Lassa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Mukah turut memohon peruntukan RM38 juta bagi membangunkan kemudahan pelupusan sisa bersepadu seluas 50 hektar di Mudan, Oya, susulan tapak pelupusan sedia ada telah digunakan kira-kira 70 peratus.
Jelasnya, tapak berkenaan dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh empat tahun lagi, sekali gus memerlukan pembangunan kemudahan baharu bagi menangani keperluan pelupusan sisa di Mukah dan Dalat dalam jangka panjang.
“Pada masa ini, kira-kira 70 peratus daripada tapak sedia ada telah digunakan dan dijangka hanya mampu bertahan untuk tempoh empat tahun lagi.”
“Oleh itu, kita memerlukan peruntukan RM38 juta bagi merealisasikan projek ini,” katanya.
Tambahnya, kemudahan yang telah diluluskan sebagai Tapak Pelupusan Sisa Bersepadu Bahagian Mukah itu akan menyokong pendekatan ‘Waste to Wealth’ menerusi pengurusan sisa yang lebih lestari serta usaha menghasilkan nilai daripada bahan yang dibuang.

