BINTULU: Pelabuhan Samalaju mencatatkan pencapaian apabila berjaya memendekkan tempoh pusingan kapal kargo dari 20 hari ke empat hingga enam hari.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang berpuas hati terhadap pencapaian itu berkata, pengurangan itu merupakan satu pencapaian membanggakan kerana berjaya dilaksanakan pada hujung tahun lalu.
Katanya, pihak perkapalan sebelum ini mengadu terpaksa membayar kos penyelenggaraan tinggi disebabkan pusingan kapal kargo agak lama.

“Pada Mac tahun lepas, saya telah melakukan lawatan kerja ke sini dan saya telah bertemu dengan beberapa pelabur dan mereka meluahkan rasa kecewa kerana masa pusingan kapal yang begitu lama.
“Jadi pihak saya telah arahkan Bintulu Port Holding untuk menyelesaikan perkara ini selewat-lewatnya pada Disember 2022,“ katanya pada sidang media lawatan kerjanya ke Pelabuhan Samalaju di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menyarankan agar pihak pengurusan Pelabuhan Samalaju terus mengekalkan perkhidmatan cemerlangnya bagi memastikan mereka menjadi pilihan utama penggiat industri di kawasan SIP.

Katanya, ia perlu dikekalkan dalam perkhidmatan penghantaran dan penerimaan barangan atau kargo industri di samping membantu dalam menjaga imej baik pelabuhan dalam mengendalikan urusan penghantaran dengan cekap dan efisien.