Temui Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini di #Catsdayout esok!

KUCHING: Buat semua warga Sarawak yang berada di sekitar Bandar Samariang dan Kuching dipelawa untuk sama-sama hadir dan berkunjung bagi memeriahkan program #CATSDAYOUT edisi ke-7 yang merupakan anjuran stesen radio Nang Antap di Sarawak, Radio Cats FM.

Bertempat di Mydin Samariang pada Sabtu ini program anjuran Cats Fm dan dipersembahkan oleh Projek Bandar Samariang Sdn Bhd akan berlangsung 26 Oktober bermula pada jam 10 pagi dan pada sebelah malamnya ialah persembahan dari penyanyi tersohor negara.

Cats Fm dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa pelbagai aktiviti menarik akan diadakan seperti cabaran e-sukan FIFA, autoshow, pertandingan melukis, kempen derma darah, perhimpunan big bikers, cabutan bertuah dan permainan pentas dengan pelbagai hadiah menarik disediakan.

“Acara kemuncak program ialah persembahan ala muzik di taman yang akan diadakan di tempat letak kereta Mydin Samariang bermula jam 8 malam, persembahan tersebut bakal menampilkan Dayang Nurfaizah, Hael Husaini, Naim Daniel, Wany Hasrita, Azarra Band dan Rem serta bakat tempatan The FamilyMan, The Crew dan Ir Radzi.

“Program yang juga merupakan kerjasama antara Cats Fm dan Pemaju Projek Bandar Samariang dianjurkan bersama sebagai salah satu tanggungjawab sosial kepada masyarakat setempat yang berada di Bandar Samariang, selain mempromosikan hartanaah perumahan di bawah Projek Bandar Samariang,” jelas kenayataan tersebut.

Menurut Pengurus Pemasaran Cats, Alvin Justin Miduk menjelaskan kerjasama berterusan pihaknya bersama Projek Bandar Samariang menunjukkan hubungan kerja yang utuh antara dua pihak

“Kita akan menjangkakan kedatangan ramai pengunjung pada kali ini sama seperti yang terdahulu kita adakan pada edisi ke-6, program ini ialah satu program yang terbaik untuk seisi keluarga.

“Bagi Cats Fm, ini adalah medium khas buat stesen radio ini bertemu dan mendekati pendengar setia kami, dan pada masa yang sama pendengar dapat melihat sendiri dengan lebih dekat penyampai dan artis yang mereka minati,” katanya.

Selain itu, jelasnya lagi Cats Fm juga akan mengadakan siaran luar secara langsung dari Mydin Samariang pada hari ini dan untuk maklumat lanjut mengenai program orang awam boleh melayari www.catsfm.my atau boleh mengikuti CATSFM di media sosial.

Suara Sarawak