KUCHING: Keadaan pasaran buruh di Sarawak kekal menggalakkan pada separuh pertama 2026 dengan jumlah tenaga buruh meningkat kepada 1.267 juta berbanding 1.262 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kadar pengangguran pula kekal stabil pada purata 3.4 peratus.
“Permintaan tenaga kerja juga terus disokong oleh aktiviti berterusan dalam sektor utama, khususnya perkhidmatan, pembinaan dan pembuatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, tambahnya, ekonomi Sarawak diunjurkan berkembang antara 5.0 peratus dengan 6.0 peratus menjelang 2027, dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh serta pelaksanaan berterusan pelbagai projek pelaburan.
Menurutnya, perbelanjaan isi rumah juga dijangka terus menyokong pertumbuhan, manakala permintaan luaran yang lebih kukuh akan memberikan rangsangan tambahan kepada eksport.
“Bagaimanapun, prospek ekonomi masih terdedah kepada ketidaktentuan global, termasuk pergerakan harga komoditi, perkembangan geopolitik dan cabaran luaran yang lebih luas.
“Risiko ini menekankan kepentingan mengekalkan daya tahan fiskal, mempelbagaikan asas ekonomi serta memperkukuh daya saing Sarawak bagi menjamin kemakmuran jangka panjang,” tegasnya.




