PADA tahun 2018, saya, isteri dan anak sulung menunaikan umrah. Sudah pasti ia menjadi pengalaman tidak dapat dilupakan memandangkan pada ketika itu anak sulung berusia lima tahun. Walaupun sudah hampir lima tahun berlalu, masih terngiang- ngiang lagi bacaan ayat suci yang berkumandang serta suasana di Mekah dan Madinah.
Keinginan untuk menunaikan umrah sudah lama saya impikan lebih-lebih lagi melihat ahli keluarga dan rakan yang menjejak kaki ke Tanah Suci. Niat untuk menunaikan umrah memang sudah lama terbuku di dalam hati namun disebabkan pelbagai halangan maka saya terpaksa menangguhkan perjalanan ini. Akhirnya pada 2018, saya, isteri dan anak sulung dikurniakan rezeki untuk menunaikan umrah bersama.
Dahulu kita sering melihat hanya inidividu berusia atau sudah pencen yang menunaikan umrah namun akhir-akhir ini semakin ramai anak muda menjejak kaki ke Tanah Suci. Sudah pasti keinginan anak muda ini didorong pengaruh media massa dan perkongsian membuatkan mereka teruja untuk melakukan haji kecil ini. Sebelum berangkat ke Tanah Suci, pelbagai cerita saya dengar tentang melakukan ibadah termasuk seronok, sedih dan kurang menyenangkan. Tetapi pada waktu itu, saya tidak faham apa yang dimaksudkan namun ianya hanya dapat dirasai selepas menjejak kaki ke Tanah Suci dan memahami apa yang mereka maksudkan.
Seronok yang mereka maksudkan adalah tumpuan kita hanya untuk beribadah dan tiada gangguan lain selain pergi ke masjid. Kaabah yang menjadi kiblat selama ini berada di depan mata. Di Tanah Suci, setiap orang berduyun-duyun mengejar ibadah dan tiada niat lain. Perasaan tidak dapat diungkap dengan kata-kata kerana terlalu damainya di bumi Tanah Haram dan segala perbuatan kita haruslah dijaga supaya tidak bercakap benda tidak sepatutnya.
Pergilah ke pelusuk dunia mana sekali pun, tiada tempat di dunia ini yang saya rasakan suasana setenang-tenangnya di Tanah Suci ini. Sedih di Tanah Suci kerana kita selalu menangis ketika berdoa dan bermunajat. Air mata jatuh dengan sendiri dan tiada siapa yang memaksa. Menangis itu juga satu terapi, menangis itu juga membuatkan manusia sedar dengan kesalahan sendiri dan ia membuktikan kelembutan hati yang ada dalam diri.
Menangis juga merupakan sebuah bentuk pengakuan terhadap kebenaran. Sedih ketika berpisah dan meninggalkan bumi Mekah dan Madinah bagi meneruskan kehidupan yang ditinggalkan. Di Tanah Suci, kita melihat berbagai ragam manusia dari pelbagai pelusuk dunia dan sekiranya mengalami peristiwa yang kurang menyenangkan, lebih baik diam, bersabarlah dalam menerima dugaan. Dari segi cuaca pula, ketika masih berada di Malaysia, saya mempunyai sedikit kerisauan dengan cuaca di Mekah dan Madinah kerana negara padang pasir itu kadang-kadang panasnya agak melampau dan kerisauan saya untuk beribadah.
Walaupun begitu, perasaan dan keterujaan dapat menunaikan ibadah umrah mengatasi kerisauan yang bermain di kepala. Saya masih ingat lagi ketika melakukan tawaf sunat di Kaabah, panas matahari terlalu terik tetapi ia tidak menggangu saya untuk melakukan ibadah. Ramai orang menangguhkan niat untuk menunaikan umrah jika mempunyai anak yang kecil. Jika masih menyusu mungkin agak sukar kerana anak masih memerlukan ibu di sisi. Tetapi jika anak sudah berumur lebih dua tahun, bolehlah merancang untuk ke Tanah Suci. Saya sendiri akui, saya dan isteri sukar untuk berenggang dengan anak kedua yang masih kecil berumur dua tahun ketika itu.
Alhamdulilah ketika berada di Tanah Suci kerinduan kepada anak tidak terasa. Terlalu sibuk mengejar waktu untuk beribadah, hanya doa yang saya titipkan supaya mereka di tanah air juga kuat. Perasaan dan pengalaman berada di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi serta ziarah ke kawasan sejarah Islam membuatkan diri ini terpaku dan asyiknya melihat ciptaan Allah. Beribadah di kota suci ini membuatkan hati berasa amat tenteram, tenang, nyaman dan asyik untuk beribadah.
Apabila kita sudah menunaikan umrah pada waktu muda, automatik keinginan untuk menunaikan haji selepas ini akan menjadi langkah saya seterusnya. Pengalaman sewaktu melakukan umrah membuatkan saya berfikir, melakukan rukun Islam kelima iaitu ibadat haji adalah lebih baik waktu muda. Ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebanyak tujuh kali dan sai di antara Bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali memerlukan kekuatan fizikal dan mental. Ketika melakukan tawaf dan saie, kekuatan mental saya teruji kerana terpaksa mendukung anak yang keletihan.
Pada ketika itu kami menunaikan umrah sekitar jam 2 pagi dan anak saya agak keletihan dan mengantuk menyebabkan saya perlu mendukungnya untuk meneruskan ibadah. Sudah menjadi impian setiap umat Islam yang pernah menjejak kaki ke Tanah Suci untuk kembali menunaikan umrah atau mengerjakan haji. Semoga kita semua diberikan peluang untuk menunaikan umrah. Apa yang penting kita perlu untuk menanam niat untuk menjejak kaki ke Tanah Suci.