ARTIKEL

GIGIH… Anggota TDM membantu dalam operasi pemadaman api kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram.

Tentera, agensi awam bantu Bomba dalam operasi padam kebakaran hutan paya gambut

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Batalion Ke-20 Rejimen Askar Melayu Diraja (20 RAMD) telah diatur gerak bersama agensi awam bagi membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi memadam kebakaran hutan paya gambut di Kuala Baram.

Jurucakap Sel Operasi Media Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat berkata, operasi tersebut dijalankan selama dua hari iaitu pada 28 hingga 29 Mac ini, yang dipecahkan kepada dua pasukan iaitu pasukan darat dan pasukan udara.

“Pasukan di darat terdiri daripada JBPM, TDM, Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), dan Naim Holdings Bhd.

“Manakala, pasukan di udara pula terdiri daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan menggunakan khidmat pesawat jenis Bombardier, serta turut dibantu oleh pesawat jenis Mi17 milik JBPM,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan itu juga, anggaran keluasan kemusnahan akibat kebakaran itu dianggarkan seluas 10 ekar, dan ia dipercayai berpunca daripada cuaca panas dan kering.

Katanya, 90 peratus api berjaya dipadamkan hingga kini, dan keadaan api kini terkawal selain tiada lagi kepala api yang kelihatan masih aktif.

Sementara itu, Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Mohd Lepi, Panglima Divisyen Pertama Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis, dan Panglima Briged Kesembilan Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Ahmad Norzaini Badrun, menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi ini.

“Semangat dan kerjasama yang dipamerkan oleh semua pihak demi kesejahteraan rakyat adalah selaras dengan konsep ‘Whole of Government and Whole of Society’ dan Teras Keempat Perintah Ulung Panglima Tentera Darat Ke-30 iaitu Gagasan Tentera dan Rakyat.

“Sehubungan itu, TDM akan terus memberikan kerjasama kepada agensi-agensi awam demi kesejahteraan rakyat di Sarawak dan juga di Sabah.

“Kerjasama seumpama ini sejajar dengan usaha untuk memperkasakan kerjasama dan hubungan erat TDM dengan agensi awam,” jelasnya.

MANTAP… Anggota TDM dan agensi yang terlibat mendengar taklimat daripada JBPM sebelum memulakan operasi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU