Tentera AS bangunkan taktik perang siber

WASHINGTON: Unit siber tentera Amerika Syarikat (AS) membangunkan maklumat taktik peperangan yang menyasarkan para pegawai Rusia jika Moscow campur tangan dalam pilihan raya presiden negara itu tahun depan, lapor agensi berita China Xinhua memetik The Washington Post pada Rabu.

Memetik kenyataan bekas dan pegawai semasa AS, laporan itu menyebut Pusat Perintah Siber AS bertindak menyerang data peribadi kepimpinan kanan dan elit Rusia jika campur tangan itu tidak dihentikan. Bagaimanapun, sasaran itu tidak membabitkan Presiden Rusia Vladimir Putin kerana langkah tersebut dianggap terlalu provokatif, kata pegawai AS. Langkah itu dibuat semasa pelbagai agensi di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump berusaha memastikan pilihan raya 2020 dilindungi daripada sebarang campur tangan asing.

Setiausaha Pertahanan AS Mark Esper memaklumkan pemberita minggu lepas Pentagon mengambil bahagian dalam pendekatan menyeluruh kerajaan melalui Pusat Perintah Siber AS dan lain-lain dalam usaha melindungi Pilihan Raya Presiden 2020.

Washington mengenakan sekatan ke atas beberapa individu serta entiti Rusia yang didakwa campur tangan dalam pilihan raya AS, dan Moscow menyangkalnya secara konsisten.

Menteri Luar Rusia Sergei Lavrov pada awal bulan ini mengulangi di Washington bahawa semua spekulasi dakwaan campur tangan Rusia dalam proses domestik AS adalah tidak berasas. – Bernama