Tentera keluarkan mayat mangsa gunung berapi

WHAKATANE: Kejayaan misi tentera elit New Zealand membawa keluar enam mayat mangsa dari gunung berapi White Island di New Zealand pada Jumaat mendapat pujian kerana menjalankannya dalam keadaan berdepan ancaman letusan lain.

Dua helikopter tentera berlepas dari lapangan terbang Whakatane menuju gunung berapi yang meletus Isnin lalu. Letusan itu membunuh sekurangkurangnya 16 orang dan mencederakan ramai mangsa lain.

Matlamat pasukan dari skuad pemusnah bom itu ialah membawa keluar mayat lapan mangsa yang masih berada di gunung berapi paling aktif di New Zealand itu, yang terletak separuh tenggelam 50 kilometer (30 batu) di laut.

Sementara, ahli vulkanologi memantau langsung aktiviti seismos untuk tanda letusan lain. Polis berkata kebanyakan mayat berjaya diterbangkan dengan selamat ke frigat tentera laut yang berlabuh di luar pesisir.

“Kakitangan bertugas menunjukkan keberanian menyelesaikan misi tersebut bagi memastikan enam mayat mangsa itu dibawa pulang ke pangkuan keluarga mereka,” kata pesuruhjaya polis Mike Bush kepada pemberita.

Tambahnya lagi, mereka beroperasi dalam persekitaran “tak menentu dan mencabar”.

Bush berkata usaha untuk mencari dua lagi mayat masih diteruskan, dengan penyelam mencari di perairan berdekatan selepas satu mayat ditemui terapung di lautan pada Selasa.

Helikopter juga mencari di Bay of Plenty dan Bush tidak menafi kan kemungkinan aktiviti pelancongan kembali ke pulau apabila keadaan lebih selamat.

Penerbangan dron membantu mencari enam mayat di kaldera sebelum operasi bermula. Komander Pasukan Khas Rian McKinstry berkata beliau “sangat bangga” pasukan itu, terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita.

“Ia satu operasi unik, yang perlu melibatkan organisasi seperti Skuadron Pembuangan Ordnance Explosive,” tegasnya. – AFP