Trending

Terakhir Kali sentuhan terbaharu Kadey

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

MENDIAMKAN diri bukan bermakna jiwanya lupa pada bidang seni malah, dia bertekad untuk terus mewarnai dunia muzik khususnya di Sarawak.
Bagi meneruskan impiannya sebagai anak seni, Kadey atau nama sebenar, Abdul Kadir Jolhi muncul dengan single Terakhir Kali, ciptaan Abang Hakim dan Hidayat Saini.
“Kalau sudah minat, mana boleh ditinggalkan bidang nyanyian.
Selagi terdaya saya akan teruskan.
“Saya pilih lagu Terakhir Kali sebagai salah satu cara untuk melebarkan sayap dalam ruang seni di negara ini.

Lagu ini sebenarnya sudah lama dalam simpanan peribadi sejak 2016 dan idea untuk mengeluarkan singlenya tercetus tahun lalu,” katanya kepada Suara Sarawak.
Menurut Kadey, beliau tidak mahu tergopoh-gapah memandangkan perlu membuat pelbagai persediaan mental dan fizikal sebelum sesi rakaman.
Malah ujar anak jati kelahiran Sarikei ini, dia perlu bijak mengatur masa agar aktiviti seni tidak menjejaskan kerjayanya.
“Saya perlu membahagikan masa agar tidak menjejaskan pekerjaan. Pada masa yang sama, individu yang berada di sebalik tabir pembikinan lagu ini juga terikat dengan kerjaya sendiri.
Namun, mereka memberikan sokongan tidak berbelah bahagi. Semangat ini yang saya mahu.

“Lagu Terakhir Kali besar ertinya buat saya. Bait-bait perkataan dalam lagu ini menggambarkan kasih sayang antara sesama manusia.
“Ia mengisahkan seorang pria yang mengharapkan peluang untuk bersama dengan gadis yang dicintainya walau hanya sekali, judul Terakhir Kali sebenarnya membawa satu maksud yang berlainan iaitu peluang yang pertama dan terakhir,” jelasnya.
Kadey berkata, sesi rakaman yang bermula Ogos itu, dibantu rakan-rakan yang juga pemuzik berbakat besar, Andee (Dram), Moq (Gitaris) dan Jamakudin (Bassis) siap sepenuhnya Oktober tahun lepas.
Dia memilih rakan-rakan sealiran dan seperjuangan untuk bersama-sama terlibat dalam projek itu bagi mengolah dan menggubah semula corak melodi asal lagu kepada satu genre yang lebih segar, daripada melodic ballads ke soft pop alternative.
“Lagu ini sudah disiarkan pada Oktober 2020 di Youtube dan Cats FM, malah sudah diterima dan siar di seluruh stesen Radio RTM.

Sementara untuk MV rasmi pula, saya berkolaborasi dengan anak Sarikei sendiri, Ruzairul Abdul Rashid dan Firdaus Shahril.
Hasil kreativiti mereka memang cukup mengagumkan.
“Sehubungan itu, saya bersyukur lagu ini semakin diterima ramai apabila berada di dalam Carta Cats Xposed ME Division selama 12 minggu, kedudukan tertinggi setakat ini di tangga ketiga,” katanya.
Menyingkap latar belakangnya, pemilik Diploma Seni Persembahan (Pengurusan Seni) Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebenarnya amat meminati irama asli kerana baginya ia mempunyai estetika yang tersendiri.
Keindahan dan kehalusan serta keunikan melodi irama tradisional itu bukan sahaja menghiburkan tetapi juga cukup menambat hatinya.
Kadey sering memenangi pertandingan nyanyian di Sarawak, menjadikan veteran irama asli seperti Ayahanda Johor Naie dan Bonda Dayang Norsiah Awang Bema sebagai tempat merujuk dan menimba ilmu.
Antara kejayaan yang pernah diraihnya, Johan Pertandingan Lagu Asli Peringkat Bahagian Sarikei pada tahun 2004, Finalis Festival Lagu Asli Sarawak di Bintulu 2005, Johan pertandingan lagu asli peringkat bahagian Sarikei (2006).

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

22 September 2023

Berita Terbaru