Terbongkar bangunan sarang burung jadi stor rokok tanpa cukai

DEBAK: Pasukan Gerakan Am(PGA) Briged Sarawak berjaya menyerbu sebuah bangunan sarang burung yang dijadikan stor penyimpanan 3,320 karton rokok kretek dan putih pelbagai jenis disyaki tanpa cukai, semalam.

Komander Briged PGA Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, serbuan Op Libas itu dijalankan oleh sepasukan Cawangan Risik IP Briged bersama PGA Sibu serta ditemani oleh dua pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sekitar jam 7.30 pagi.

Menurutnya, ketika kejadian, seorang wanita warga tempatan yang mengaku sebagai pemilik bangunan tersebut memberikan alasan beliau tidak memiliki kunci berikutan stor terbabit telah disewa kepada seorang lelaki yang tinggal di Miri.

“Setelah lebih dua jam menunggu, pasukan mendapati pemilik bangunan walaubagaimanapun enggan memberikan kerjasama menyebabkan ketua pasukan mengarahkan untuk mengumpil pintu besi tersebut.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 120 karton rokok kretek dan 3,200 karton rokok putih pelbagai jenama yang tidak bercukai,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Tambahnya, kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM495,744.00 termasuk cukai.

Katanya, kesemua tangkapan dan rampasan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Betong untuk tindakan lanjut.

STOR… bangunan sarang burung dijadikan stor simpanan rokok kretek dan putih pelbagai jenis dipercayai tanpa cukai

Suara Sarawak