TERENDAK MELANAU atau juga lebih dikenali sebagai serao merupakan salah satu warisan seni anyaman masyarakat Melanau yang diperbuat daripada rotan dan dahan pokok rumbia.
Penggunaan terendak suatu ketika dahulu kebiasaan bagi masyarakat Melanau ketika bekerja di luar seperti menangkap ikan atau berucuk tanam.
Kini, pemakaian terendak bagi kaum Melanau lebih kepada salah satu aksesori lengkap busana tradisi kaum ini yang sering digunakan ketika menghadiri Pesta Kaul atau perayaan tradisi lain.
Setiap daerah yang mempunyai penduduk kaum Melanau menghasilkan kraf terendak tersendiri.
Kraf terendak Melanau Dalat ini mempunyai motif dan corak lebih halus berbanding daerah lain.
Terendak Dalat ini juga menjadi salah satu ikon kepada Daerah Dalat.
Ia unik dari segi motif, corak, warna dan ketahanan.
Khususnya di kampung Tanam, aktiviti membuat kraf tangan terendak menjadi salah satu sumber pendapatan sampingan wanita sejak zaman dahulu.
Fidelis Michael, 37, merupakan individu yang mempopularkan keunikan penghasilan kraf terendak dari kampung Tanam melalui gambar yang dimuat naik olehnya di Facebook.
“Saya melibatkan diri secara serius menghasilkan kraf terendak ini semasa musim pandemik pada 2020.
“Kebetulan ibu saya dan kawan-kawannya mendapat tempahan dalam jumlah yang banyak, jadi saya membantu mereka mengurus dan menyiapkan tempahan tersebut,” katanya.
Menurutnya, buat masa ini, mereka menghasilkan terendak di rumah sahaja dan belum mempunyai sebarang tempat khusus untuk tujuan tersebut.
Difahamkan pelanggan mereka bukan sahaja terdiri daripada penduduk tempatan Melanau di sekitar daerah Dalat-Mukah, malah ada juga dari Sibu, Miri dan Kuching.
Terdapat tempahan yang diterima dari penduduk kaum lain yang berminat dengan seni kraf terendak Melanau Dalat.
“Kami anggap pelanggan kami istimewa kerana mereka menghargai seni kraf terendak Melanau Dalat.
“Walaupun terdapat banyak terendak lain dijual di pasaran, tetapi mereka tetap memilih produk kami.
“Kebanyakan pelanggan membeli produk kami untuk dijadikan cenderahati kepada tamu kenamaan sesebuah majlis.
PROMOSI DI MEDIA SOSIAL
Fidelis juga menyatakan segala contoh produk yang siap hasil tempahan dipromosikan melalui Facebook Fidelis Michael Fidelis dan ada juga melalui promosi lisan dari pelanggan kepada kawan mereka.
“Penghasilan terendak memang dari dulu menjadi sumber pendapatan golongan ibu di kampung ini.
“Semenjak dipromosikan di media sosial, masyarakat setempat seolah-olah terbuka mata dengan produk ini.
“Kalau dahulu mereka membeli terendak untuk kegunaan harian, tapi pada masa sekarang mereka membeli dijadikan hiasan atau cenderahati semasa majlis perkahwinan mahupun majlis rasmi,” kata Fidelis.
Penghasilan terendak mereka tidak seperti dari daerah lain yang sentiasa tersedia kerana mereka hanya dapat menghasilkan terendak jika ada tempahan dan mengikut permintaan pelanggan.
Setakat ini, permintaan kraf terendak sangat tinggi sehingga menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan dengan segera.
JAGA KUALITI
Menurutnya, proses membuat terendak Dalat agak memakan masa demi menjaga kualiti produk.
“Para pelanggan terpaksa menunggu dalam tempoh satu hingga tiga bulan untuk mendapatkan terendak mereka yang sudah siap,” tambahnya.
Antara cabaran lain ialah bahan mentah seperti buluh.
Semua bahan yang diperlukan untuk menghasilkan terendak disediakan oleh pembuat itu sendiri, ia tidak dijual di mana-mana.
Proses menyediakan bahan pula bergantung atas faktor cuaca.
“Faktor sebeginilah yang mempengaruhi jumlah penghasilan terendak,” jelasnya.
Fidelis berharap seni membuat kraf terendak ini dapat dikekalkan supaya tidak hilang ditelan arus pemodenan.
“Saya juga berharap pihak berkenaan seperti Centex sentiasa menganjurkan bengkel pembuatan terendak untuk menarik minat golongan muda.
“Saya berharap kraf terendak ini dikenali oleh masyarakat luar sebagai ikon kaum Melanau.
“Selain itu, saya ingin melihat terendak ini menjadi salah satu produk kraf yang berkualiti setanding dengan kraf Sarawak yang lain,” ujarnya.
Seni membuat terendak memerlukan kesabaran, kreativiti dan tekad menghasilkan terendak berkualiti.
“Jika siap sekali kita melakukannya, kita rasa berpuas hati dengan hasil kita sendiri.
“Saya yakin suatu hari nanti apabila orang luar melihat terendak Melanau, mereka tahu bahawa ia hasil kraf kebanggaan masyarakat kaum Melanau Dalat khasnya,” katanya.