APABILA mendapat arahan perlu menjalani kuarantin wajib 14 hari di hotel, apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda?
Sudah tentu secara automatik anda akan bercakap kepada diri sendiri, “bosanlah duduk sendirian di bilik hotel. Apa yang dapat dilakukan dalam tempoh dua minggu ini?”
Ya, kuarantin wajib 14 hari merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kerajaan Sarawak bagi kemasukan ke negeri ini untuk membendung penularan wabak Covid-19.
Tidak kira sama ada dari dalam atau luar negara, apabila tiba ke Sarawak, anda wajib menjalani kuarantin tersebut sehingga tempoh ditetapkan sebelum dibenarkan pulang ke destinasi seterusnya.
Justeru, manfaatkan masa lapang tersebut seperti yang dilakukan oleh Fidelis Michael, 35, dari Kampung Tanam, Dalat dengan menyiapkan tempahan terendak pelanggan ibunya, Julan Ajus, 63.
Terendak adalah sejenis topi atau penutup kepala berbentuk kon yang kebiasaannya digunakan wanita masyarakat Melanau.
Kini aksesori turun-temurun ini dijadikan cenderahati untuk dibawa balik pelancong yang berkunjung ke Sarawak.
Terendak juga dikenali dengan nama sera, u, sera’ong atau tapo, sinonim dengan masyarakat Melanau di Mukah yang merangkumi Dalat, Oya, Igan, Matu, Daro hinggalah ke Kuala Rajang.
Tanpanya tidak lengkap busana tradisional masyarakat itu.
Menurut Fidelis yang bekerja dalam industri minyak dan gas, idea tercetus untuk menyiapkan tempahan dalam tempoh kuarantin kerana dia mengejar masa dan risau tidak dapat disiapkan mengikut waktu yang ditetapkan.
“Pelanggan tersebut hanya mahu hasil tangan ibu saya. Jadi saya yang merupakan anak muridnya mempunyai hasil kerja yang sama kerana setiap orang mempunyai kreativiti yang berlainan.
“Justeru, daripada tidak membuat apa-apa dan tempoh kuarantin, saya membuat keputusan menyiapkan terendak dengan meminta adik di Dalat menghantar bahan keperluan kepada kakak di Kuching.
“Seterusnya kakak menghantar kepada saya di hotel. Terima kasih kepada APM kerana memberi kerjasama meluluskan bahan-bahan ini dihantar kepada saya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, semalam.
Fidelis yang mula menjalani kuarantin bermula 12 Jun lalu bagaimanapun berkata, dia tidak dapat menyiapkan sepenuhnya kerana peralatan (pisau) untuk peringkat seterusnya dalam pembuatan terendak tidak dibenarkan dibawa masuk ke bilik hotel.
“Semasa kuarantin ini, saya membuat tiga terendak dan menyiapkan setakat yang mampu, apabila balik ke kampung kelak, saya akan menyambungnya.
“Kebiasaannya tempoh untuk menyiapkan satu terendak memakan masa dua minggu kerana saya mempunyai pekerjaan tetap, manakala ibu juga tidak melakukannya sepenuh masa sebab perlu ke kebun dan kerja rumah yang lain.
“Selalunya saya membantu ibu menyiapkan tempahan apabila terendak itu diperlukan segera,” jelasnya yang kembali dari Aruba, Belanda.
Ujar Fidelis, dia belajar kemahiran membuat perhiasan warisan itu daripada ibunya yang merupakan salah seorang pengusaha terendak dikenali The Tapow Ladies of Kampung Tanam sejak kecil.
“Bukan hobi, tetapi disebabkan sering mengganggu ibu menyiapkan terendak akhirnya saya pula jadi tahu membuatnya sehingga mampu menghasilkan terendak sendiri.
“Antara bahan-bahan diperlukan adalah buluh, daun palma bukit (daun biruk dalam bahasa Melanau), rotan, kotak terpakai dan benang.
“Buluh biasanya diambil sendiri di kampung, rotan dibeli daripada pembekal manakala daun dibeli di pasar Sibu,” katanya sambil menambah, ibunya belajar membuat terendak daripada nenek, sekali gus merupakan kemahiran turun temurun.
Tambahnya, dahulu terendak hanya diguna untuk melindungi kepala pemakainya dari hujan dan panas dan kemudian dipadankan dengan busana tradisional wanita Melanau ketika menghadiri majlis rasmi atau keramaian.
“Sekarang masyarakat semakin menghargai warisan ini dan banyak permintaan untuk perhiasan rumah, pejabat serta cenderamata ekslusif.
“Malah Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berusaha mengangkat terendak ke tahap lebih tinggi dengan memperhebatkan promosi ke pasaran lebih luas.
“Harga terendak bermula RM100 hingga RM500 bergantung kepada saiz, corak dan bingkai,” katanya sambil menambah, pengusaha terendak di kampungnya biasanya bekerjasama menyiapkan tempahan bagi membolehkan ia disiapkan dalam masa ditetapkan.
Fidelis berhasrat membawa produk itu ke peringkat antarabangsa kerana mahu mengangkat martabat seni pembuatan kraf tangan tradisional itu.
“Saya juga ada membawa terendak apabila ke luar negara untuk bekerja kerana bangga dengan warisan bangsa dan dalam masa yang sama mempromosikan kepada rakyat luar negara.
“Kita mahu kualiti terendak yang dihasilkan menjadi keutamaan kerana ia adalah simbol manifestasi semangat wanita Melanau yang sentiasa gigih berusaha membantu menambah pendapatan keluarga,” ujarnya mengakhiri temu bual.
Bagi yang berminat membeli produk warisan kaum Melanau ini, anda boleh melayari Facebook Serao Dalat yang mengeluarkan produk yang bermotifkan terendak Kampung Tanam Dalat.