Tergamak curi komputer riba bapa

KUCHING: Seorang lelaki yang mengaku bersalah mencuri komputer riba milik bapanya didenda RM4,000 ataupun penjara 10 bulan, semalam.

Majistret Zaiton Anuar mengarahkan tertuduh berusia 35 tahun didenda setelah mengaku bersalah melakukan kes di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Tertuduh mengaku mencuri komputer riba milik ayahnya pada jam 5 petang di sebuah rumah di Jalan Keranji, Tabuan Jaya pada 24 Disember lalu.

Menurut fakta kes, pengadu membuat laporan polis bahawa pada 24 Disember 2020, sekitar jam 5 petang ketika berada di rumahnya tertuduh telah mengetuk pintu bilik tidur ibunya untuk meminta wang.

Namun ibunya mengatakan bahawa dia tiada wang.

Mendengar jawapan ibunya sebegitu, tertuduh marah dan tiba-tiba menolak pintu bilik itu dengan secara paksa dan merampas sebuah komputer riba dan terus melarikan diri keluar dari rumah dengan tujuan menjual komputer berkenaan.

Pengadu turut melaporkan bahawa tertuduh disyaki sedang khayal disebabkan mengambil dadah.

Pendakwaan kes dikendalikan Inspektor Merylene Lindan Andrew.