Terima dua bayaran elaun sekali gus

SIBU: Sebanyak 5,900 pemimpin JKKK menerima bayaran elaun untuk bulan Januari yang dijadual dibayar pada akhir bulan ini. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian memberitahu, pembayaran itu akan dibayar sekali gus dengan bayaran elaun untuk Februari.

“Kerajaan Sarawak menangguh bayaran bulan Januari lalu kerana menghadapi masalah logistik serta prosedur tertentu yang melambatkan proses bayaran tersebut. “Elaun anda akan dibayar sekali gus untuk dua bulan pada akhir Februari ini,” katanya pada sesi bertemu dengan tuai-tuai rumah di kawasan Sibu di Pejabat Residen Sibu di sini baru-baru ini.

Adun Batu Kawah itu menyaksikan Residen Bahagian Sibu Charles Siaw menyerahkan sijil pelantikan kepada tuai-tuai rumah terbabit. Sebanyak 52 tuai rumah menerima sijil pelantikan semula jawatan mereka manakala seorang tuai rumah merupakan pelantikan baharu iaitu Tuai Rumah Jenny Edwin. Sijil-sijil diserahkan kepada Tuai Rumah Rumpang Merta selaku mewakili 52 tuai-tuai rumah berkenaan.

Kui Hian bersetuju bahawa banyak pemimpin JKKK tidak sabar-sabar untuk mengetahui tentang kenaikan elaun mereka. “Anda boleh membincangkannya dengan Menteri Kewangan yang juga Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tu Openg apabila beliau datang ke sini,” kata Presiden SUPP itu.

Bagaimanapun, Kui Hian mengingatkan JKKK sebagai sebahagian daripada Kerajaan GPS. Menurutnya, mereka diberi kuasa melalui Pejabat Residen dalam melaksanakan projek dan menjaga kawasan masing-masing dengan baik.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada JKKK kerana melaksanakan tanggungjawab membantu Kerajaan GPS menjadi mata dan telinga orang ramai. “Marilah kita bersama-sama menjadikan Sarawak kuat,” tegasnya lagi.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran kepada mereka untuk sentiasa mengikuti prosedur standard operasi (SOP) semasa melaksanakan projek.

Suara Sarawak